Friday, March 27, 2009

Suruhan bermubahalah.....(1)

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah".

Sebab nuzul ayat ke-59

Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: "Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: "Apa yang telah saya katakan?" Mereka berkata: "Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!"

Nabi SAW menjawab: "Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam".

Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: "Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh".

Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.

Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: "Jadilah engkau!" Maka jadilah ia.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT.

"Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal".

ii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.

"Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan".

Sebab nuzul ayat 60

Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Maraghi berkata: "Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan".

ii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak.

"Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu".

iii. Hamka berkata: "Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu.

"Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya".


No comments: