Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. (asy-Syura: 38)
Huraian
Islam telah menentukan prinsip as-syura (mesyuarat) supaya umat Islam dapat membentuk organisasi atau badan khas yang bertanggungjawab mengurus kebajikan ummah. Setiap permasalahan yang timbul dibincang bersama sama ada dari sudut sosial, ekonomi dan sebagainya.
Mereka dilarang mengamalkan pemerintahan kuku besi bagi menegakkan keadilan, kebebasan dan persaudaraan sesama masyarakat. Selalunya apabila sesuatu organisasi itu menjalankan mesyuarat terlebih dahulu, keputusan yang dihasilkan menjadi lebih baik dan tepat berbanding keputusan secara individu.
Dalam mesyuarat mereka dapat berbincang dan bertukar-tukar fikiran daripada seseorang yang mahir dalam bidang tertentu. Bukanlah dasar syura ini terhad kepada organisasi besar sahaja, bahkan organisasi kecil seperti keluarga juga boleh mengamalkan dasar ini.
Rasulullah sendiri menjalankan dasar syura ini sewaktu terdirinya kerajaan Islam di kota Madinah. Ia juga diamalkan semasa pemerintahan khulafah al-Rasyidin yang kemudiannya menjadi ikutan kepada seluruh umat Islam.
Kesimpulan
Islam mengatur hidup umatnya dengan sempurna dan tersusun. Sistem syura yang diperkenalkan menjadi asas kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita.
Cuma, cara pelaksanaannya berbeza-beza mengikut keadaan masyarakat bersesuaian dengan kemaslahatan mereka. Melalui dasar ini, umat Islam dapat bertukar-tukar fikiran dalam menghasilkan keputusan yang tepat, jitu dan mantap seterusnya membawa kepada kecemerlangan ummah seluruhnya .
No comments:
Post a Comment