Soalan:
Seorang suami melakukan persetubuhan dengan isterinya pada siang hari bulan Ramadan. Suami wajib membayar kaffarah manakala isteri mengqadakan puasanya.
Masalahnya, suami telah meninggal dunia (lebih dari 18 tahun) dan tidak sempat untuk membayar kaffarah. Isteri dan anak-anaknya bersedia untuk membayar kaffarah untuk arwah suami/bapanya. Bagaimana pengiraannya?
.....................................................................................................
Jawapan:
Setiap ibadat hendaklah ditunaikan oleh manusia sendiri sama ada ibadat itu wajib mahupun sunat kerana ibadat itu tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya.
Kepatuhan seorang hamba dalam melaksanakan ibadat sama ada yang sunat mahupun yang wajib adalah bukti tunduk dan patuhnya seseorang kepada Allah SWT.
Setiap ibadat yang fardu adalah tertanggung atas diri sendiri, apabila yang wajib dilakukan maka si hamba akan terlepas daripada tuntutan fardu sekiranya ditinggalkan dia berdosa. Jika ditinggalkan kerana malas dihukum dengan fasik sekiranya ingkar kefarduan dihukum dengan kafir.
Sekiranya ingin keluar daripada hambatan dosa maka orang meninggalkan fardu wajib qada bagi ibadat yang dituntut qada serta menunaikan ibadat yang menuntut qada dan kaffarah seperti puasa. Kenapa setiap ibadat fardu itu wajib dilakukan oleh tuannya dan bukan orang lain? Secara umumnya kefarduan dalam Islam meliputi setiap insan yang berakal, baligh dan Islam. Kalau saya tak buat saya berdosa kalau dia tak buat dia berdosa.
Ini kerana kewajipan itu tertanggung atas bahu masing-masing melainkan ada keadaan yang menjadikan dia terkeluar daripada tuntutan, seperti puasa Ramadan. Sekiranya dia uzur atau bermusafir harus baginya berbuka dan diganti dengan hari yang dia tidak uzur dan tidak musafir.
Falsafah sesuatu ibadat difardukan ke atas seseorang hamba adalah supaya melalui ibadat yang dilakukan dia berpeluang membaiki diri serta mengenal siapa dia sebenarnya di hadapan Allah. Serta menjadikan ibadat sebagai sebaik-baik amalan untuk meningkatkan mutu hidup dan sebaik-baik wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Falsafah yang lain adalah untuk memastikan bumi Allah ini dihiasi dengan kebajikan, ketakwaan serta kebaikan, dan ini yang menjadi matlamat utama Islam. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 177).
Maka dengan petikan ayat ini ulama memperjelaskan bahawa ibadat itu ialah melahirkan generasi yang berkebajikan. Justeru, orang yang mempunyai ciri kebajikan ialah golongan yang bertakwa kepada Allah.
Al-Quran menyarankan orang Islam supaya bantu-membantu dalam melaksanakan kebajikan firmannya yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (al-Maidah: 2)
Melalui kedua-dua ayat ini di kalangan ulama ada yang berpendapat bahawa menggantikan sesuatu amalan hanyalah terhad dalam persoalan yang melibatkan harta sahaja.
Sekumpulan ulama yang lain meluaskannya kepada persoalan ibadat badaniyyah (yang dilakukan oleh tubuh badan).
Seorang tokoh fiqh yang dihormati Sheikh Nuh Ali Sulaiman, Mufti Pertahanan Negara Jordan, berpendapat harus bagi seorang muslim mengqadakan amalan yang tertinggal bagi ahli keluarganya.
Dalam pendapat al-Syafieyyah dan pendapat yang paling kuat ialah: Barang siapa yang mati dan atasnya ada tanggungan puasa wajib atau puasa nazar maka ke atas walinya (bapa atau datuk atau ahli keluarganya) memilih sama ada mahu berpuasa bagi pihaknya atau tidak.
Salah satu hadis yang kuat dikemukakan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim ialah hadis daripada Aisyah r.a.h yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang meninggal dan meninggalkan puasa maka berpuasa baginya oleh walinya. (al-Bukhari, jld:3, hlm:45, Muslim, jld:2, hlm: 803).
Sementara itu, jenis-jenis kaffarah bagi orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan ada tiga macam. Pertama membebaskan hamba, kedua, berpuasa dua bulan berturut-turut dan yang ketiga memberi makan 60 orang miskin.
Dalam persoalan yang ditanya oleh puan adalah lebih baik pilih jenis kaffarah ketiga iaitu memberi 60 orang makan sebagai menjelaskan hutang kaffarah yang tertanggung atas bahu suami.
Sebaik-baiknya dengan menggunakan harta peninggalan suami, kalau harta suami sudah tidak ada boleh mohon supaya anak-anak menunaikan dengan memberi 60 orang miskin makan dengan niat membayar kaffarah arwah suami.
No comments:
Post a Comment