Friday, February 27, 2009

Nabi dibekalkan mukjizat.........

Ayat ke-49
Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah, dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Tafsiran perkataan akmah dengan pelbagai maksud, antaranya: Yang dapat melihat pada waktu siang dan tidak pada waktu malam atau sebaliknya dan pendapat mengatakan buta adalah lebih kuat dari sudut mukjizat.

"Nabi Isa AS dibangkitkan pada zaman kedoktoran atau mereka yang mempunyai banyak maklumat berkenaan ilmu. Justeru, kelebihan merawat pelbagai jenis penyakit hatta menghidupkan yang telah mati sebagai tanda dan sokongan syariat yang dibawa".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud Allah SWT telah mengutus baginda sebagai rasul kepada Bani Israel. Menurut satu riwayat, baginda menerima wahyu yang pertama ketika berumur 30 tahun. Baginda menjadi nabi selama tiga tahun, tidak lama kemudian baginda telah diangkat ke langit".

iii. Mohamad Quraish Shihab: "Tanda atau mukjizat sangat perlu bagi setiap nabi atau rasul kerana mereka diutus kepada kaum dengan membawa ajaran yang secara tegas mereka akui dari Allah SWT.

"Tidak semua masyarakat dapat mempercayai nabi dan rasul kerana itu perlu ada bukti untuk menyerlahkan kebenaran yang nyata.

"Seharusnya bukti tersebut hal yang luar biasa untuk meyakinkan kaum yang tidak mempercayai dan menolak ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sesungguhnya mukjizat membuktikan kebenaran yang dibawa oleh nabi dan rasul".

iv. Hamka berkata: "Kepada Bani Israel tujuan beliau yang pertama dan utama sekali. Diterangkan juga seruan Nabi Isa a.s kepada Bani Israel dengan dibuktikan mukjizat yang ada padanya untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT kepada kaumnya.

Nabi Isa menyeru pada kaumnya: "Satu tanda yang tidak akan dapat kamu mungkiri lagi bahawa aku ini memang utusan Allah SWT untuk kamu. Semua yang terjadi pada mukjizat itu hanya semata-mata keizinan dari Allah SWT, bukan daya upayaku sendiri. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah SWT".

Ayat ke-50

Firman Allah SWT yang bermaksud:
 Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dakwah Nabi Allah Isa atas dua perkara: Takwa kepada Allah dan manusia wajib mentaatinya dalam mengikut manhaj".

ii. Al-Maraghi berkata: "Aku (Isa a.s) datang kepada kamu dengan membawa tanda demi tanda, kebenaran daripada Tuhan kamu, yang membuktikan kebenaranku dan kebenaran kerasulanku.

"Sebagaimana yang telah aku sebutkan kepada kamu, antara lain, seperti membuat burung, menyembuhkan penyakit kusta dan cacar, menghidupkan orang mati dan mengkhabarkan hal-hal yang tersembunyi, dan lain-lain lagi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Setelah menjelaskan mukjizat Nabi Isa, dijelaskan pula ajarannya iaitu beliau diutuskan kepada Bani Israel untuk membenarkan Taurat kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa jauh sebelum kelahiran Isa".

iv. Hamka berkata: "Nabi Isa bukanlah didatangkan untuk mengubah hukum Taurat. Banyak perkara yang diharamkan kepada Bani Israel kerana kesalahan mereka sendiri, persoalan yang banyak maka kedatangan Nabi Isa adalah mencabut kembali beberapa larangan itu sehingga tidak menyempit".

Ayat ke-51

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini menerangkan supaya disuruh berkata sesungguhnya Allah SWT, Tuhanku dan Tuhan kamu semua".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ini adalah perintah Allah SWT kepada mereka agar memiliki pegangan yang benar, iaitu kepercayaan tauhid.

Kemudian perintahkan agar tetap taat melalui jalan menunaikan perintah-perintah Allah SWT kepada mereka dan menjauhi larangan-Nya.

"Seiring dengan ayat ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah SWT. Kemudian tetapkanlah diri (di atas kebenaran)".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata shirath terambil dari kata yang bermakna menelan. Sesuatu yang menelan pastilah lebih lebar dari yang ditelan. Jalan yang dinamai shirath adalah jalan yang sangat luas dan dapat menampung semua yang berjalan di atasnya.

"Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa serta tuntutan-tuntutan agama pada hakikatnya adalah jalan yang sangat luas dan mudah untuk diselusuri.

"Demikianlah agama, penuh dengan toleransi dan kemudahan sehingga para penganutnya tidak akan merasa berat dan terdesak oleh tuntutan-tuntutannya".

iv. Hamka berkata: "Demikianlah diceritakan tentang Maryam mengandung dan Nabi Isa a.s lahir kemudian diangkat Allah SWT menjadi utusan-Nya. Tidak ada Isa al-Masih menyeru manusia untuk menempuh jalan lain ataupun untuk menuhankan dirinya sendiri".

Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa kuasanya Allah SWT dan peranan rasul untuk membawa ajaran Islam serta berdakwah kepada seluruh manusia.

Nabi Allah Isa a.s adalah seorang Nabi dan Rasul yang bertauhidkan Allah SWT. Baginda dikurniakan pelbagai keistimewaan sebagai mukjizat untuk membenarkan risalah yang dibawanya. Inilah sunnatul anbiya' al-Mursalin.

No comments: