Friday, February 27, 2009

Nabi dibekalkan mukjizat.........

Ayat ke-49
Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah, dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Kathir berkata: "Tafsiran perkataan akmah dengan pelbagai maksud, antaranya: Yang dapat melihat pada waktu siang dan tidak pada waktu malam atau sebaliknya dan pendapat mengatakan buta adalah lebih kuat dari sudut mukjizat.

"Nabi Isa AS dibangkitkan pada zaman kedoktoran atau mereka yang mempunyai banyak maklumat berkenaan ilmu. Justeru, kelebihan merawat pelbagai jenis penyakit hatta menghidupkan yang telah mati sebagai tanda dan sokongan syariat yang dibawa".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud Allah SWT telah mengutus baginda sebagai rasul kepada Bani Israel. Menurut satu riwayat, baginda menerima wahyu yang pertama ketika berumur 30 tahun. Baginda menjadi nabi selama tiga tahun, tidak lama kemudian baginda telah diangkat ke langit".

iii. Mohamad Quraish Shihab: "Tanda atau mukjizat sangat perlu bagi setiap nabi atau rasul kerana mereka diutus kepada kaum dengan membawa ajaran yang secara tegas mereka akui dari Allah SWT.

"Tidak semua masyarakat dapat mempercayai nabi dan rasul kerana itu perlu ada bukti untuk menyerlahkan kebenaran yang nyata.

"Seharusnya bukti tersebut hal yang luar biasa untuk meyakinkan kaum yang tidak mempercayai dan menolak ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sesungguhnya mukjizat membuktikan kebenaran yang dibawa oleh nabi dan rasul".

iv. Hamka berkata: "Kepada Bani Israel tujuan beliau yang pertama dan utama sekali. Diterangkan juga seruan Nabi Isa a.s kepada Bani Israel dengan dibuktikan mukjizat yang ada padanya untuk membuktikan kekuasaan Allah SWT kepada kaumnya.

Nabi Isa menyeru pada kaumnya: "Satu tanda yang tidak akan dapat kamu mungkiri lagi bahawa aku ini memang utusan Allah SWT untuk kamu. Semua yang terjadi pada mukjizat itu hanya semata-mata keizinan dari Allah SWT, bukan daya upayaku sendiri. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah SWT".

Ayat ke-50

Firman Allah SWT yang bermaksud:
 Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dakwah Nabi Allah Isa atas dua perkara: Takwa kepada Allah dan manusia wajib mentaatinya dalam mengikut manhaj".

ii. Al-Maraghi berkata: "Aku (Isa a.s) datang kepada kamu dengan membawa tanda demi tanda, kebenaran daripada Tuhan kamu, yang membuktikan kebenaranku dan kebenaran kerasulanku.

"Sebagaimana yang telah aku sebutkan kepada kamu, antara lain, seperti membuat burung, menyembuhkan penyakit kusta dan cacar, menghidupkan orang mati dan mengkhabarkan hal-hal yang tersembunyi, dan lain-lain lagi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Setelah menjelaskan mukjizat Nabi Isa, dijelaskan pula ajarannya iaitu beliau diutuskan kepada Bani Israel untuk membenarkan Taurat kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Musa jauh sebelum kelahiran Isa".

iv. Hamka berkata: "Nabi Isa bukanlah didatangkan untuk mengubah hukum Taurat. Banyak perkara yang diharamkan kepada Bani Israel kerana kesalahan mereka sendiri, persoalan yang banyak maka kedatangan Nabi Isa adalah mencabut kembali beberapa larangan itu sehingga tidak menyempit".

Ayat ke-51

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Nya. Inilah jalan yang lurus.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini menerangkan supaya disuruh berkata sesungguhnya Allah SWT, Tuhanku dan Tuhan kamu semua".

ii. Al-Maraghi berkata: "Ini adalah perintah Allah SWT kepada mereka agar memiliki pegangan yang benar, iaitu kepercayaan tauhid.

Kemudian perintahkan agar tetap taat melalui jalan menunaikan perintah-perintah Allah SWT kepada mereka dan menjauhi larangan-Nya.

"Seiring dengan ayat ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah SWT. Kemudian tetapkanlah diri (di atas kebenaran)".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata: "Kata shirath terambil dari kata yang bermakna menelan. Sesuatu yang menelan pastilah lebih lebar dari yang ditelan. Jalan yang dinamai shirath adalah jalan yang sangat luas dan dapat menampung semua yang berjalan di atasnya.

"Penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa serta tuntutan-tuntutan agama pada hakikatnya adalah jalan yang sangat luas dan mudah untuk diselusuri.

"Demikianlah agama, penuh dengan toleransi dan kemudahan sehingga para penganutnya tidak akan merasa berat dan terdesak oleh tuntutan-tuntutannya".

iv. Hamka berkata: "Demikianlah diceritakan tentang Maryam mengandung dan Nabi Isa a.s lahir kemudian diangkat Allah SWT menjadi utusan-Nya. Tidak ada Isa al-Masih menyeru manusia untuk menempuh jalan lain ataupun untuk menuhankan dirinya sendiri".

Ayat-ayat yang dibincangkan ini jelas menunjukkan betapa kuasanya Allah SWT dan peranan rasul untuk membawa ajaran Islam serta berdakwah kepada seluruh manusia.

Nabi Allah Isa a.s adalah seorang Nabi dan Rasul yang bertauhidkan Allah SWT. Baginda dikurniakan pelbagai keistimewaan sebagai mukjizat untuk membenarkan risalah yang dibawanya. Inilah sunnatul anbiya' al-Mursalin.

Kemunculan Nabi Isa

SOALAN

Nabi Muhammad SAW adalah rasul terakhir yang menyebarkan agama dan menyempurnakan ajaran Islam kepada umat manusia. Baginda wafat seperti mana seorang makhluk manusia.

Nabi Isa pula yang menyebarkan agama Kristian tidak wafat tetapi diselamatkan dari pembunuhan pengikut agama Kristian sendiri dan Allah naikkan ke langit untuk diturunkan semula ke dunia di akhir zaman sebelum hari kiamat bagi melawan dajal untuk menolong umat manusia sekelian.

Adakah ini bermakna Allah memberi kelebihan atau keistimewaan kepada Nabi Isa untuk menyelamat umat manusia termasuk umat Islam padahal semasa hayat baginda tidak menyebar agama Islam tetapi Kristian. Ini boleh diambil sebagai modal oleh penganut-penganut Kristian untuk mengatakan bahwa Kristian adalah sebenarnya agama yang benar dan diredai tuhan?

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

JAWAPAN

Firman Allah SWT menjelaskan bahawa setiap sesuatu yang bernyawa pasti akan menemui fitrah kehidupan: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati. (ali-‘Imran: 185)

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang maksudnya: Setiap sesuatu yang bernyawa pasti merasakan mati sesudah itu kepada kami kamu dikembalikan. (al-Ankabut: 57)

Menerusi ayat tersebut jelas bahawa Allah menetapkan kematian ke atas segala sesuatu. Setiap yang ada permulaan pasti ada pengakhirannya. Hanya Allah SWT yang tiada pengakhiran baginya. Selain Allah yang bergelar makhluk ada penghujungnya.

Ini termasuklah Nabi Allah Isa a.s yang akan turun di akhir zaman, iaitu sezaman dengan Imam Mahdi seperti mana dijelaskan dalam hadis-hadis fitan (fitnah) akhir zaman. Kebanyakan riwayat yang menegaskan kedatangan Nabi Isa a.s adalah sahih. Ada sebahagiannya daif malahan ada juga riwayat yang direka oleh golongan pendusta.

Di sini saya tidak akan membincangkan kategori atau kedudukan riwayat-riwayat itu. Malah lebih fokus kepada persoalan meyakini kedatangan Nabi Isa a.s dan mengakhir kehidupan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Mengikut kepercayaan agama Islam, apa yang dibawa oleh semua dan rasul bermula dari Nabi Adam a.s sehingga Muhammad SAW semuanya adalah agama yang satu bertunjangkan seruan mengesakan Allah SWT semata-mata.

Sekali gus mengajak manusia membebaskan diri daripada pengabdian kepada selain Allah seperti penyembahan berhala atau penyembahan makhluk sesama makhluk.

Rasulullah SAW bersabda, “Sekelian nabi adalah (bagaikan) saudara seibu, dan agama mereka juga satu.” Ayat al-Quran juga menegaskan perkara yang sama: Rasulullah itu telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang (rasul) dengan rasul - rasul yang lain,”...mereka berkata lagi: Kami akur dan Kami taat keampunan-Mulah yang kami harapkan Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali (kami). (al-Baqarah: 285)

Demikian halnya tentang hubungan antara Nabi Muhammad dengan Nabi Isa berdasarkan sambungan sabda baginda dari hadis di atas, “Dan sesungguhnya aku adalah nabi terdekat dengan Isa ibnu Maryam kerana antara dia dan aku tidak ada nabi.

“Sesungguhnya ia (Isa) akan turun. Apabila kamu melihatnya, maka kenalilah ia lebih dahulu; warna kulitnya putih agak kemerah merahan, ia mengenakan dua helai pakaian. Rambut kepalanya seakan- akan menitiskan air sekalipun tidak basah, ia mematahkan palang salib dan membunuh babi, memansuhkan pajak dan menyeru manusia untuk memeluk agama Islam. Di zaman turunnya, Allah melenyapkan semua aliran agama kecuali Islam.

“Pada zamannya, Allah membinasakan Dajal, kemudian terciptalah keamanan dan kedamaian di bumi hingga kita akan menyaksikan seekor macan boleh berjalan bergandingan dengan unta, singa bergandingan dengan lembu, serigala dengan domba.

“Anak-anak kecil bermain dengan ular, tetapi anak-anak itu tidak digigit ular. Isa hidup selama 40 tahun kemudian ia wafat dan disolatkan oleh kaum muslimin”.

Dalam membicarakan berkenaan penurunan Nabi Isa ke bumi pada akhir zaman, Al-Munawi, dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir mengatakan: Para ulama sependapat dengan faham turunnya Nabi Isa a.s tetap sebagai nabi, tetapi tetap menerapkan syariat Islam.

Di lain pembahasan, masih dalam buku Syarh al-Jami’ ash-Shagir, al-Munawi mengatakan: Dalam buku al-Mathaami’ diterangkan kesepakatan umat akan turunnya Nabi Isa, dan tiada seorang pun dari ulama syariah yang membantah hal itu. Hanya saja hal itu tidak diterima para ahli falsafah dan penganut ateisme.

Ijmak umat ini disepakati, bahawa Isa akan turun dan menegakkan syariat Muhammad. (al-Munawi).

Justeru, kedudukan Nabi Isa kelak bukan lagi sebagai nabi baru, tetapi penyambung syariat Rasulullah SAW.

Ia bagi umat Islam dan bukan untuk mendukung ajaran Kristian yang telah diseleweng oleh penganutnya selepas 300 tahun dari diangkatnya Nabi Isa ke langit.

Perlu ditegaskan, sewaktu turun ke bumi, Nabi Isa a.s bukan datang sebagai nasrani tetapi sebagai muslim yang menjalankan syariat dan ketentuan agama Islam.

Beliau akan solat bersama muslimin di masjid, menghadap kiblat, mengharamkan khamar, khinzir dan ideologi triniti yang jelas tidak mengesakan Allah. Selain menghancurkan salib yang menjadi sumber kemusyrikan.

Semua keterangan itu bersumberkan hadis-hadis Rasulullah yang sampai kepada umat Islam, antara lain:

l Isa Al-Masih a.s Mengikuti Syariah Islam dan Bukan Menghapusnya Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, beliau bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat hingga Nabi Isa a.s turun (ke bumi) menjadi seorang hakim yang bijaksana dan pemimpin yang adil, menghancurkan salib, membunuh babi-babi, meletakkan ufti, harta melimpah-ruah hingga tidak ada seorangpun yang menerimanya. (diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari, Kitabul Buyu’ bab Qatlil Khinziri no. 2222, Kitabul Mazhalim bab Kasri Ash-Shalib wa Qatlil Khinziri no. 2476, Kitab Ahaditsil Anbiya` bab Nuzuli Isa bin Maryam no. 3448, 3449; Al-Imam Muslim rahimahullahu dalam Kitabul Iman bab Nuzuli Isa bin Maryam Hakiman Bisyariati Nabiyyina Muhammad SAW no. 242; Al-Imam At-Tirmidzi, no. 2233)

Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa dia ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sekumpulan dari umatku akan memperjuangkan kebenaran dan akan berterusan kehadiran kumpulan seumpama itu sehingga Hari Kebangkitan (Hari kiamat). Isa anak Maryam akan turun, ketua kumpulan itu akan mengajaknya bersama mereka dan menjadi imam solat mereka, tetapi baginda (Nabi Isa) akan berkata: Tidak, sebahagian dari kamu adalah ketua kepada yang lain. Ini adalah satu penghormatan kepada umat Islam ini. (Sahih Muslim, jilid 1, muka surat: 155)

Berdasarkan kepada beberapa riwayat dan hujah para ulama jelas bahawa Nabi Isa a.s pasti akan turun dan menjadi makmum kepada Imam Mahdi sebagai pengiktirafan baginda terhadap Imam Mahdi yang menjadi umat Nabi Muhammad SAW.

Tercetusnya perang Uhud

PERANG Uhud adalah lanjutan daripada Perang Badar. Kaum Quraisy ingin menuntut bela di atas kekalahan yang mereka alami dalam Perang Badar. Mereka berasa aib dan malu atas kekalahan tersebut. Mereka ingin menebus kehormatan dan nama mereka dengan serangan pembalasan.

Setelah kaum Quraisy kalah teruk dalam Perang Badar, perasaan dendam semakin memuncak dalam hati sanubari mereka. Kekalahan tersebut telah menjatuhkan maruah dan harga diri mereka. Mereka berasa sangat malu dan hina. Pada masa yang sama, kaum Quraisy tidak henti-henti berusaha sedaya upaya untuk membalas dendam terhadap Nabi Muhammad SAW dan tentera-tenteranya.

Dalam Perang Badar, banyak harta benda kaum Quraisy dirampas oleh tentera Muslimin. Ini menambahkan lagi perasaan dendam dan marah mereka. Oleh itu, ketua-ketua kaum Quraisy telah mengadakan mesyuarat bagi memutuskan cara untuk memusnahkan tentera Muslimin.

Antara ketua-ketua kaum Quraisy yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah Abu Sufyan bin Harb, Abdullah bin Rabi'ah, Ikrimah bin Abi Jahl, Syofwan bin Umaiyyah, Jubair bin Muta'in, Harith bin Hisyam, Huwith bin Abdul Uzza, Ubay bin Khalaf dan lain-lain.

Mereka mula mengumpul dana dan mengerah tenaga tentera yang ada. Antara sumber dana yang digunakan sebagai persediaan untuk menebus kembali kekalahan mereka ialah wang hasil perniagaan mereka.

Hasil keuntungan daripada penjualan barang-barang dagangan yang dibawa oleh kafilah Abu Sufyan dari Syam digunakan untuk menyediakan kelengkapan perang yang akan datang.

Dengan persetujuan Abu Sufyan, beliau menjual segala barangan dagangannya sebagai aset peperangan. Oleh kerana usaha ini, Allah SWT menurunkan firman-Nya dalam ayat di atas.

Selain itu, ketua-ketua Quraisy telah membangkitkan semangat orang-orang yang kehilangan ahli keluarga dan saudara mara dalam perang yang lalu supaya menuntut bela atas kematian mereka.

Desakan daripada pihak atasan ini telah menyuntik semangat orang Quraisy untuk membalas dendam. Akhirnya tercetuslah perang Uhud antara orang-orang Islam dan Musyrikin Quraisy.

Dalam tempoh setahun, pihak Quraisy telah berjaya melengkapkan kekuatan bala tenteranya. Kekuatan tentera Quraisy adalah seramai 3,000 orang. Bilangan wanita sebagai pembakar semangat seramai 15 orang. Tentera berkuda seramai 200 orang termasuk 3,000 ekor unta. Setelah berkumpul mereka terus mara menuju ke Madinah.


Sejarah pembesaran Masjidil Haram

SEWAKTU Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan puteranya, Ismail a.s. mendirikan Kaabah atas perintah Allah SWT, ia adalah sebuah bangunan yang didirikan di tengah-tengah kawasan terbuka. Kedudukannya ini mendefinisikan arah kiblat umat Islam.

Pada masa itu solat dan tawaf dilakukan di kawasan yang terbuka. Malah binaan bangunan ini tidak berubah-ubah sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW.

Had ruang terbuka ini ditentukan oleh kawasan kediaman dan bangunan-bangunan komersial yang semakin berkembang dari semasa ke semasa di sekelilingnya.

Malah pelaksanaan ibadat sa'ie telah dilakukan sepanjang lorong sempit yang selari dengan kedai-kedai dan rumah-rumah yang terletak di bahagian antara bukit Safa dan Marwah.

Kini ruang terbuka tersebut telah diubah menjadi laman dalam (courtyard) sebuah masjid agung iaitu Masjidil Haram, Mekah.

Keadaan Masjidil Haram pada masa Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar tidaklah seluas seperti sekarang.

Pada zaman Saidina Umar dan Uthman, masjid ini diperluaskan dan dibina dinding di sekelilingnya. Kerja-kerja pembaikan terus dilakukan sehingga pemerintahan Umaiyah.

Usaha untuk memperindahkan bangunan ini secara besar-besaran dilakukan pada zaman Kerajaan Abasiyah. Ketika Sultan Salim II (1566-1574 M) daripada kerajaan Uthmaniah memerintah, baginda beberapa kali memperbaiki dan menambah bangunan berupa atap kecil.

Kaum Quraisy yang merupakan ketua puak Arab direkodkan adalah pihak yang bertanggungjawab melaksanakan pembesaran pertama sekeliling Kaabah iaitu pada 604. Diikuti sekurang-kurangnya 10 fasa pembesaran Masjidil Haram.

Yang pertama padan zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar ini telah menetapkan sempadan dan yang terakhir dilakukan semasa pemerintahan Al-Malik Fahd, kerajaan monarki Arab Saudi yang kelima.

Walau bagaimanapun, sehingga pembesaran pertama pada 1955 di bawah Raja Abdulaziz Al-Saud, masjid itu hanyalah sekadar ruang terbuka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan beratap yang bersebelahan, sekali gus menandakan sempadan.

Khalifah ketiga, Othman bin Affan merancang semula terutamanya untuk ruang tawaf dengan merobohkan khemah-khemah yang kurang penting.

Pada 1988, sekali lagi Masjidil Haram melalui pembesaran secara besar-besaran pada masa pemerintahan Al-Malik Fahd. Selepas perluasan itu, keluasan Masjidil Haram menjadi 117,480 meter persegi iaitu 16,745 peratus lebih besar saiznya pada zaman Baginda Rasulullah SAW.

Penambahan kawasan lantai yang lebih teguh serta pertama kalinya diperkenalkan pengunaan penghawa dingin merupakan pembesaran kali kedua Masjidil Haram.

Pembesaran kali kedua ini juga melibatkan kawasan berbumbung yang terbuka untuk tujuan solat dan tawaf serta pelebaran perkarangan di pintu gerbang Bab Al-Malik dan Bab al-Salam.

Hamparan jernih batu marmar yang berkilat di laluan perkarangan pintu masuk turut memberi keselesaan kepada tetamu Allah terutamanya sewaktu mendirikan solat di sebelah malam.

Namun yang paling penting ialah penambahan penyediaan kemudahan tandas dan tempat berwuduk yang dibina di bahagian bawah tanah, telah berjaya menjadikan urusan jemaah haji lebih selesa dan dapat memberi tumpuan kepada penyerahan diri kepada Allah SWT.


Thursday, February 26, 2009

Didik Anak-anak kita dengan Agama

Pastikan Anak-Anak Berada Di Rumah Terutama Di Waktu Maghrib Dan Subuh.

Ibubapa dan penjaga hendaklah mengambil berat dan memastikan anak-anak mereka berada di rumah sebelum waktu maghrib dan tidak berkeliaran di jalan-jalan, tembok-tembok, pusat-pusat hiburan dan pusat membeli belah, pusat-pusat permainan dan di mana sahaja tempat-tempat yang tidak sesuai. Ini kerana waktu yang demikian adalah waktu di mana Syaitan berkeliaran.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Falaq:

  • Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad); Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. Dari bencana makhluk-makhluk yang ía ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ía masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ía melakukan dengkinya”.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

  • Maksudnya : “Hendaklah kamu menjauhkan diri kamu daripada duduk (berada) dijalan-jalan”

Riwayat Ahmad

Memisahkan Tempat Tidur Antara Anak Lelaki Dan Anak Perempuan.

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa dan penjaga menyediakan tempat tidur yang berasingan di antara anak lelaki dengan anak perempuan sebagaimana hadis RasuluHah s.a.w. yang berbunyi:

  • Maksudnya : “Dan hendaklah kamu pisahkan di antara mereka di lempat tidur.”

Riwayat Al-Hakim

Meminta Izin Untuk Memasuki Bilik.

Islam telah memberikan garis panduan bagi mendidik anak-anak supaya menjaga hak-hak dan kehormatan di antara satu sama lain terutama hak ibubapa terhadap anak-anak dan sebaliknya. Hak yang paling penting ialah menjaga aurat dan maruah sesama ahli keluarga. Untuk itu Islam menyuruh setiap ahli keluarga supaya memmnta izin sebelum memasuki bilik sesama mereka khususnya yang berlainan jantina.

Firman Allah Taala dalam sunah An-Nun ayat 58-59:

  • Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu, dalam tiga masa iaitu sebelum sembahyang subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah liga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang rnenjelaskan hukum-hukumNya), dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang rnenjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Perbuatan meminta izin ini adalah bagi mendidik akhlak anak-anak supaya terpelihara daripada terpandang perkara-perkara yang mengaibkan seterusnya mengelakkan dari berlakunya sumbang mahram atau haruan makan anak.

Memperkukuh Belaian Kasib Sayang.

Kasih sayang adalah anugerah dan yang paling tinggi daripada ibubapa terhadap anak-anak. Ibubapa bertanggungjawab memperkukuh dan mengeratkan belalan kasih sayang secara seadil-adilnya di antara anak-anaknya kerana ia menjadi benteng kepada mereka daripada pengarub-pengaruh yang negatif.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

  • Maksudnya : “Bukan daripada kami orang-orang yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang-orang dewasa”.

Riwayat At-Tarmizi.

Sabdanya lagi:

  • Maksudnya : “Orang-orang yang mengasihi orang lain akan dikasihi oleh Allah Taala, Oleh itu hendaklah kamu mengasihi makhluk yang ada di atas muka bumi nescaya kamu akan dikasihi penghuni di langit”.

Riwayat Abu Daud

Anak-Anak Digalakkan Makan Masakan Ibu / Keluarga

Makanan mempengaruhi pembentukan fizikal dan mental. Maka ibubapa hendaklah memberikan keutamaan terhadap setiap makanan yang dimakan oleh anak-anak dan sebaik-baik makanan ialah yang halal dan dimasak oleh ibu dan ahli keluarga. Ini kerana makanan tersebut memberi kesan yang amat mendalam pada naluri dan pembesaran anak-anak seterusnya dapat membangkitkan kasih sayang yang tinggi dan ketaatan ke atas ibubapa serta sifat saling menghormati di kalangan ahli keluarga.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

  • Maksudnya : “Sesungguhnya Allah itu baik dan suka kepada yang baik, bersih dan suka kepada yang bersih.

Riwayat At-Tarmizi.

Riadah....

Islam juga amat menitikberatkan tentang pentingnya seseorang itu menjaga kesihatan fizikal. Ini kerana tubuh badan yang sihat akan melahirkan akal yang cerdas dan bijak sebagaimana dinyatakan di dalam sebuah kata-kata hikmah:

  • Maksudnya : “Akal yang sihat dan bernas hanya terdapat pada orang yang memiliki tubuh badan yang sihat.”

Bahkan Rasulullah s.a.w. menyuruh para ibubapa dan penjaga supaya mengajarkan kepada anak-anak mereka melakukan riadah, antaranya sabdanya yang berbunyi:

  • Maksudnya : “Ajarkanlah anak-anak kamu berenang dan memanah.

Riwayat Ad-Dailami.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Anfal ayat 60:

  • Maksudnya : “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dan pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dan mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya; Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”

Oleh itu ibubapa dan penjaga hendaklah mengajar dan menunjuk kan apakah dia riadah yang sesuai dan tidak bertentangan dengan syariat Islam iaitu dan sudut jenis riadah, cara berpakaian, masa beriadah, pergaulan semasa beriadah iaitu dari segi fizikal dan mental.

Makanan Halal, Seimbang Dan Berkhasiat.

Islam amat menggalakkan orang-orang Islam memakan makanan dan minuman yang halal, seimbang dan berkhasiat sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 168:

  • Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”.

FirmanNya lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 57:

  • Maksudnya : “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

  • Maksudnya : “Mencari rezeki yang halal adalah wajib ke atas setiap individu muslim.

Riwayat Ad-Dailami

Wednesday, February 25, 2009

Penggubalan undang-undang keluarga wajar dipercepat

Cadangan pindaan beberapa isu perlu diperhalusi, pelaksanaan diseragamkan setiap negeri 

PERJUANGAN ke arah kesamarataan antara lelaki dan wanita berkumandang lagi baru-baru ini. 

Masih belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu kekeliruan dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita apabila Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan undang-undang itu menindas wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang dibentangkan dan diluluskan Parlimen. 

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang diluluskan itu dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya. 

Sanggahan PGSM terbukti benar kerana sehingga kini undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang itu.

Kajian itu diselia Peguam Negara sendiri. Perdana Menteri mengarahkan perkara itu hendaklah diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan berkenaan. 

Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan jawatankuasa itu. Banyak cadangan baik diutarakan dan disepakati. Hal demikian sudah selesai beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini hasil perbincangan panjang lebar itu masih belum direalisasikan. 

Sehingga hari ini selepas hampir tiga tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga yang dipinda masih belum dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian dilakukan masih belum lengkap lagi? 

Nampaknya kerajaan tidak menyedari pentingnya undang-undang itu. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

Sebenarnya rang undang-undang pindaan yang dibentangkan pada tahun 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu. 

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan rang undang-undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah pun meluluskan undang-undang itu sejak 2002. 

Pada masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga ini. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini kita dapati kurang rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia. 

Rang undang-undang itu sudah dikaji jawatankuasa pakar undang-undang Islam iaitu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Hukum Syarak yang ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar undang-undang dan syariah termasuk wakil NGO wanita. 

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu segera dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan secepat mungkin. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang sama supaya segala pindaan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang berbeza antara negeri. 

Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita. 

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, akibat ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam sudah berputik. 

Ada pelbagai hak diberikan kepada golongan wanita dalam rang undang-undang itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hak wanita jauh lebih banyak diperincikan dalam undang-undang berkenaan berbanding hak lelaki. 

Melihat perkembangan semasa, beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian. 

Dalam hal demikian, undang-undang tatacara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya lebih 'mesra pelanggan', tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera. 

Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak. 

Beberapa isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan dalam undang-undang keterangan bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah. 

Ketiadaan peruntukan berkaitan menyukarkan pembuktian di Mahkamah Syariah pada masa ini. Malah tiada garis panduan khusus berhubung perkara itu bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie. 

Ada banyak lagi perkara perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada Mahkamah Syariah. 

Tanpa menyelidiki latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana. Apa dilaksanakan adalah apa yang sudah diperuntukkan oleh undang-undang. Jika undang-undang tidak memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiadalah kuasa itu. 

Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat Mahkamah Syariah daripada melaksanakan keadilan. 

Namun, dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang. 

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan. 

Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing bagi menyeragamkannya dengan pindaan terbaru ini. 

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu juga dipinda seperti Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara ini mahkamah syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera. 

Moga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah. PGSM mendesak agar Perdana Menteri dapat memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri sebagaimana dijanjikan. 

Dalam menjadikan syariah asas keadilan dan meletakkan hak kepada yang berhak, langkah segera perlulah diambil bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tanpa mengira gender, ras dan bangsa. 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org Intipati 

  • Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera. 

  • Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita. 

  • Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak. 

  • Tiada garis panduan khusus berhubung isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie. 

  • Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah perlu dipinda supaya menghasilkan keputusan lebih adil.


  • Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
    www.peguamsyarie.org

    Tukang sikat rambut Puteri Firaun...........!!

    KISAH ini berlaku di negara Mesir ketika pemerintahan Firaun yang terkenal sebagai pemerintah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Firaun ingkar kepada Allah dan membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengakuinya sebagai tuhan. Pada ketika itu, ada seorang tukang andam istana bernama Siti Masitah yang beriman kepada Allah di istananya.

    Suaminya bernama Hazaqil yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir dan menjadi sahabat Firaun. Walaupun dia rapat dengan Firaun, hatinya sudah beriman kepada Allah. Pada suatu hari, Hazaqil tidak berpuas hati dengan hukuman mati yang dijatuhkan Firaun kepada 40 ahli sihir yang beriman kepada Allah. Dia berdebat dengan Firaun.

    "Tuanku, saya tidak bersetuju dengan hukuman mati kepada ahli sihir kita. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara Mesir." Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Firaun.

    "Mereka dihukum mati kerana tidak mengaku beta sebagai Tuhan mereka!" Firaun kelihatan marah dengan kata-kata Hazaqil itu.

    "Sekiranya kamu mempertahankan nasib ahli sihir itu, beta percaya kamu sebenarnya juga salah seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah". Firaun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib ahli sihir yang dihukum mati.

    "Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu". Firaun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman ke atas Hazaqil walaupun dia merupakan sahabat dan pegawai kerajaannya.

    Hazaqil terus ditangkap oleh pegawai Firaun dan dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma dan dipanah oleh pengawal Firaun sehingga mati. Kematian Hazaqil membuatkan hati Siti Masitah tidak tenteram dan hatinya semakin benci melihat muka Firaun yang membunuh suaminya.

    Pada suatu pagi, Siti Masitah menyikat rambut puteri Firaun di bilik tidur. Pada mulanya dia menumpukan perhatian menyikat rambut puteri Firaun. Tiba-tiba hatinya teringat kepada Hazaqil yang mati dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Jiwanya mula menjadi keluh resah sehingga dia hilang tumpuan. Justeru, sikat yang sedang dipegangnya terjatuh ke lantai.

    "Allah". Kata Siti Masitah, lalu mengambil sikat dari lantai.

    "Kamu akan dihukum kerana berkata begitu! Adakah tuhan lain selain bapa beta?" puteri Firaun bertanya kepada Siti Masitah dengan keras.

    Siti Masitah tidak memohon maaf atas kata-katanya itu. Dia juga menyatakan ada tuhan lain yang patut disembah dan bukan bapanya.

    Puteri Firaun terus mendapatkan ayahnya dan mengadu tentang apa yang diucapkan oleh Siti Masitah kepada Firaun. Firaun menjadi marah lalu memanggil Siti Masitah bagi dibicarakan.

    "Siapakah Tuhan kamu?" bergema suara Firaun menakutkan Siti Masitah yang berdiri di hadapannya.

    "Tuhan saya Allah," balas Siti Masitah dengan tenang dan berani.

    "Kamu akan dijatuhkan hukuman berat atas kesalahan menghina beta!" Firaun memerintahkan pengawal memasak minyak panas di dalam sebuah kuali besar. Firaun juga memerintahkan tenteranya memanggil rakyatnya berkumpul dan melihat hukuman yang bakal dilaksanakan kepada Siti Masitah.

    "Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan." Firaun terus memandang Siti Masitah. Dia berkata, "Beta berikan satu peluang terakhir kepada kamu, adakah kamu mengaku beta sebagai tuhan kamu?"

    Sebelum Siti Masitah menjawab, syaitan datang lalu membisikkan hasutan di hatinya. "Kamu tidak sayang nyawa anak-anak kamu. Kamu tidak kasihan kepada bayi yang masih kecil itu. Beta tidak akan hukum kamu sekiranya kamu mengaku beta sebagai tuhan." Siti Masitah mula berjalan menaiki tangga menuju ke kuali besar yang berisi minyak mendidih.

    "Wahai ibu, janganlah terpedaya dengan kata-kata syaitan yang dilaknat Allah. Kematian kita mendapat rahmat daripada Allah dan pintu syurga terbuka menanti kedatangan kita," tiba-tiba, bayi dalam gendongan Siti Masitah berkata dengan izin Allah.

    "Allahhu Akbar!" teriak Siti Masitah lalu terjun bersama dua orang anaknya ke dalam kuali besar berisi minyak mendidih itu.

    Rakyat Mesir yang hadir melihat kejadian itu terhenti nafas seketika melihat keimanan Siti Masitah dan dua orang anaknya yang rela berkorban demi mempertahankan kebenaran agama Allah. Tiba-tiba mereka tercium bau wangian harum keluar dari periuk besar berisi minyak mendidih itu apabila Siti Masitah dan dua orang anaknya menghembuskan nafas terakhir di dalam minyak mendidih itu.

    Keteguhan iman Siti Masitah sekeluarga tidak disembunyikan daripada pengetahuan Firaun. Mereka berterus terang dan mendapat hukuman Firaun kerana mengejar cinta Allah yang lebih agung dan yang lebih dirindui.

    Tuesday, February 24, 2009

    Keberkatan............

    Manusia memang mencari keberkatan. Kerana keberkatan memberikan kepuasan. Kepuasan pada hati sehingga mententeramkan jiwa, melegakan emosi dan menenangkan minda. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak merasa lega dan puas. Bak mereguk air laut kala dahaga, makin diminum makin haus jadinya.

    Allah SWT menyatakan yang bermaksud: 

    Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155 - 157)

    Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat. Berkat pada zakat misalnya, amat besar kesannya.

    Ia bisa menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada. 

    Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya," (Sebahagian hadis Riwayat Ahmad)

    Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi. Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.

    Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara. Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang.

    Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun. Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT; bukan sebaliknya. Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng- benteng zakat". (riwayat Abu Daud)

    Keberkatan pada Harta.......

    Memastikan harta yang diperoleh itu menerusi jalan yang halal lagi berkat. Ini kerana jika jalannya halal namun tidak menjaga syariat yang lain, misalnya sengaja membuka aurat atau meninggalkan solat, maka rezeki itu halal tetapi tidak berkat.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: 

    Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)

    Memastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya. Amanah harta antara lain ialah menyalurkannya kepada tanggungan kita yang berhak, misalnya kepada ibu bapa dan anak isteri. Amanah harta juga ialah memastikan ia tidak disalah guna, misalnya dibelanjakan ke meja judi atau membeli keseronokan duniawi semata-mata. Infak, zakat dan sedekah juga adalah amanah harta.

    Firman Allah SWT yang bermaksud:

    Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-'Imran: 92)

    Menunaikan hak yang wujud pada harta dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Ini kerana, Allah SWT amat membenci golongan yang memberi tetapi hatinya diselaputi rasa sombong, perasaannya penuh riak dan mengharapkan pujian daripada orang.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: 

    Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (an-Nisa': 36)

    Sudah jelas kepada kita, bahawa Islam mendidik kita agar berhemah dalam kehidupan. Anjuran Islam sama ada supaya kita suka berderma, bersedekah, berinfak dan berzakat, hakikatnya adalah demi kebaikan kita kembali. Ini kerana, itu adalah jalan menuju kesejahteraan hakiki.

    Firman Allah SWT yang bermaksud: 

    Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. (al-Lail: 5 - 7)

    Monday, February 23, 2009

    Maksud Doa Qunut Nazilah

    'Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

    Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur

    Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

    Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

    DOA QUNUT NAZILAH











    CARA MEMBACA QUNUT NAZILAH

    Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal.

    Doa dibaca ketika berdiri untuk I’tidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:

    1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.

    2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran

    3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah .

    Peringatan:
    · Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat.

    · Imam hendaklah meberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.

    Sunday, February 22, 2009

    Anak luar nikah tak boleh berbinkan bapa

    Soalan:
    Seorang bayi perempuan luar nikah dilahirkan pada Februari beberapa tahun lalu dan hanya tiga bulan selepas itu baru ibu bapa bayi berkenaan berkahwin. Malangnya, walaupun bayi itu anak luar nikah, namanya tetap dibintikan dengan nama bapanya, bukan Abdullah. Kini bayi itu sudah dewasa dan tinggal bersama ibu bapanya. Apakah wajib untuknya segera menukar binti kepada Abdullah? Apakah hukumnya jika tidak menukarnya? Adakah anak itu sentiasa berdosa disebabkan dosa ibu bapanya? Apakah prosedur yang perlu dibuat jika beliau mahu menukar nama bintinya?

    -----------------------------------------------------------------

    Jawapan:
    Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada sesiapa yang mengaku bapanya kecuali Abdullah atau salah satu nama Allah yang berpangkalkan Abdul. Lelaki yang menyebabkan kelahiran anak itu tidak diiktiraf sebagai bapa kerana tiada akad sah yang menghalalkan persetubuhan bagi menghasilkan anak itu.


    Perkara ini dititikberatkan kerana membabitkan banyak kesan dari segi keturunan (nasab), mahram, hukum berkaitan aurat, wali dan pembahagian pusaka.

    Anak tidak sah taraf tidak menanggung dosa kesalahan orang tuanya. Namun, nasab sebelah ibunya (ibu serta saudara mara ibu) perlu bertanggungjawab terhadap anak itu termasuk memastikan nama yang betul.

    Bagaimanapun, jika ibu mengahwini lelaki yang menyebabkan kelahiran anak itu, si anak dikira mempunyai hubungan mahram dengan suami ibu sebagai hubungan bapa tiri dengan bersentuhan tidak membatalkan wuduk tetapi tidak boleh mewalikan pernikahan si anak perempuan itu jika ia ingin berkahwin.

    Jika anak dewasa dan bin atau binti belum dibetulkan, maka dinasihatkan menukarnya dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

    Sebelum itu ia perlu membuat surat akuan sumpah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 di Pesuruhjaya Sumpah dan mendapatkan surat sokongan Jabatan Agama Negeri.

    Islam haramkan perkara dorong zina

    Soalan:
    Apakah hukumnya seorang lelaki dan perempuan bukan muhrim tidur serumah tetapi di bilik berasingan.


    ---------------------------------------------------------------------------
    Jawapan:
    Lelaki dan perempuan tidur di bilik berasingan dalam rumah yang sama mendedahkan mereka kepada risiko dan fitnah.


    Apatah lagi jika tidak ada mahram atau orang lain di rumah berkenaan kerana dalam keadaan itu, masih ada peluang mereka untuk bertemu atau berbual.

    Seperti diriwayatkan Ibnu Abbas RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbahnya: “Tidak boleh bagi seorang lelaki berkhalwat dengan wanita melainkan bersamanya mahram.” (Riwayat Muslim)

    Justeru, Islam bukan setakat mengajar perkara halal mesti dilaksanakan dan haram wajib dijauhi tetapi mengajar umatnya lebih baik mencegah daripada mengubati.

    Contohnya, ditegah melakukan perkara yang boleh menyebabkan zina seperti berdua-duaan atau membuka aurat. Tegasnya, apa yang membawa kepada perkara haram, ia turut haram

    Paderi peluk Islam di Rusia

    ISLAM di benua sebesar Rusia masih diselubungi misteri bak kabus yang sangat tebal. Ini apabila jumlah sebenar mereka yang menganut Islam di benua itu tidak ada dalam data yang tepat dan terkini.

    Pakar mengenai agama itu, The Russian Islamogist, Roman Silantvev berkata, terdapat khabar angin yang tersebar luas mengatakan sehingga kini terdapat hampir 20 juta penduduk Rusia merupakan penganut Islam.

    "Ternyata khabar angin itu tidak realistik," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Rusia, Interfax dua tahun lalu.

    Menurutnya, jumlah penduduk Islam mengikut etnik-etnik yang ada di benua itu dikatakan seramai 14.5 juta sahaja. Namun jumlah sebenar dikatakan kurang iaitu terdapat 7 hingga 9 juta orang sahaja yang beragama Islam.

    "Satu lagi khabar angin popular yang juga tidak benar, yang mengatakan etnik Rusia terutamanya yang menganut Yahudi dan Kristian semakin ramai yang memeluk Islam pada hari ini.

    "Sedangkan yang berlaku sejak 15 tahun lalu sehingga kini, dilaporkan hanya seramai 3,000 orang sahaja yang memeluk Islam, iaitu satu jumlah tidak memberikan makna dan signifikan yang besar," jelasnya.

    Namun selepas dirujuk pada lama web ensiklopedia percuma di Internet Wikipedia, Islam dikatakan agama kedua yang paling ramai dianuti di Persekutuan Rusia. Dianggarkan kini terdapat seramai 20 juta penduduknya merupakan penganut Islam. Ia adalah pertambahan hampir 40 peratus sejak 15 tahun lalu dengan 6 juta dari mereka terdiri daripada penduduk asal yang beragama Islam.

    Namun Silantvev perlu menerima hakikat sekalipun jumlah tidak menjanjikan signifikan tetapi bagaimana seorang yang bertaraf paderi besar dari gereja utama di negara itu akhirnya memeluk Islam?

    Pada tahun 1999, berita pengislaman bekas Paderi Gereja Ortodoks Rusia, Viacheslav Sergeevich Polosin, 53, yang juga pengerusi jawatankuasa Committee of the Supreme Soviet on Freedom of Conscience bagaikan satu sinar yang memecahkan kabus itu.

    Namun Polosin dituduh mengalami masalah psikologi akibat tekanan politik apabila dikatakan meninggalkan agama Kristian itu.

    Jika Polosin menukar mazhab dari Ortodoks kepada Prostestan, mungkin masih boleh dimaafkan tetapi kini dengan nama baru iaitu Ali, bagaimana ini dapat diterima oleh masyarakat Kristian?

    "Sedari kecil saya percaya mengenai kewujudan tuhan sehinggalah melanjutkan pelajaran ke universiti. Barulah saya mengenali mengenai agama iaitu Kristian diikuti mengunjungi gereja bagi saya mengenali lebih lanjut mengenai Kristian, sesuatu yang tidak saya temui ketika menghadiri kelas pengajian falsafah di universiti," katanya.

    Perkara ini bukan sesuatu yang pelik apabila Rusia berkiblatkan komunisme sebagai dasar pemerintahan dan peraturan kehidupan. Perkara mengenai agama tentunya sesuatu yang sangat asing.

    Walaupun segala ajaran mengenai Kristian boleh dipetik bagaikan di hujung jarinya, namun bekas paderi itu mengakui Islam merupakan jalan yang paling lurus (the straight path) menuju kebenaran.

    "Dalam Kristian 'jalan lurus' itu juga disebut beberapa kali dalam Kitab Perjanjian Lama.

    "Dalam kitab itu diceritakan apabila Raja (King David) yang melalui jalan yang permukaannya berbatu-batu di daerah berbukit Palestin, maka pembantu baginda bertindak membersihkan jalan itu dan turut memastikan bahawa 'jalan itu lurus'.

    "Ini diikuti nabi John the Forerunner yang mengajak semua supaya mengakui ketuhanan Jesus sebagai 'jalan yang lurus' dengan meninggalkan kepercayaan karut yang dianuti sebelum ini," katanya.

    'Jalan lurus'

    Namun kata Polosin, 'jalan lurus' menurut al-Quran adalah yang paling benar. Kehidupan manusia merupakan satu perjalanan lurus menuju kepada Allah tanpa perlu melalui mana-mana orang tengah atau wakil mahupun sebarang objek penyembahan.

    "Nabi Isa sendiri dalam ajaran baginda yang sebenar mahukan manusia memalingkan muka mereka kepada satu-satunya Tuhan (to 'thou', 'Abba, Father') bukannya diri baginda sebagai tuhan seperti mana yang berlaku dalam ajaran itu kini," katanya.

    Polosin mengakui bahawa memeluk Islam di sebuah negara seperti Rusia tidak dilihat sebagai satu perbuatan yang dapat diterima.

    "Tetapi isunya kini, bukan sangat kerana memeluk satu ajaran baru tetapi satu pengakuan kepada satu ajaran kepada percaya tuhan yang satu secara lebih tegas. Kepercayaan saya kepada Tuhan tidak pernah berubah cuma menjadi lebih kuat, itu sahaja," ujarnya.

    Untuk Polosin mengakui keesaan Allah merupakan hasil dari satu perjalanan yang cukup panjang beliau berusaha sedapat boleh untuk mengenali Islam dari apa juga aspek. Sedari soal ketuhanan sehinggalah kepada sosial, politik dan hari pembalasan.

    "Saya mengkaji hampir kesemua penulisan buku terutama sejarah Kristian dan Islam dari ramai penulis termasuk ahli falsafah terkenal Perancis, Rene Genon yang turut memeluk Islam.

    "Prosesnya cukup panjang kerana Islam bagi saya merupakan satu transisi atau peningkatan kepercayaan yang lebih berkualiti dan menjadi satu peringkat baru yang perlu saya lalui," kata Polosin yang turut menganggap perbincangan bersama seorang tokoh Islam Rusia, Murad Zargishiev memberikan pengaruh besar dalam hidupnya.

    Ditanya sama ada bekas paderi itu kini sudah tidak mempercayai Nabi Isa sebagai Al Masih (penyelamat), Polosin menjelaskan bahawa beliau tetap mempercayai baginda.

    "Nabi Isa sebagaimana yang dikisahkan dalam Perjanjian Lama (Injil) diterima sebagaimana diceritakan sedangkan ketepatan atau kebenaran mengenai teks Kitab itu sendiri tidak dapat ditentukan kesahihannya.

    "Berbanding dengan al-Quran disebutkan baginda merupakan seorang nabi. Seorang yang benar dengan dikurniakan Allah dengan kebolehan yang ajaib dan adalah benar baginda seorang Penyelamat kerana itu baginda digelar Al Masih (Messiah)," katanya.

    Nabi Isa

    Polosin menjelaskan doktrin mengenai ketuhanan Nabi Isa hanya muncul pada abad ke-4 selepas Masihi (kelahiran Nabi Isa) dan dijadikan satu dogma agama yang rasmi pada abad ke 5 (SM). Namun, untuk beberapa abad sebelum itu penganut Kristian tidak pula mengakui bahawa Nabi Isa itu tuhan.

    Hasil kajian mendalam, Polosin menyedari Islam bukanlah tunas baru yang lahir dari Kristian tetapi satu reformasi kedua yang paling hebat berlaku selepas agama nabi Ibrahim, Hanif.

    "Nabi Isa pula membawa misi kebenaran bagi membersihkan amalan-amalan pagan yang dilakukan oleh kaumnya. Namun sesetengah pengikut tidak mahu mengikut baginda malah merancang untuk membunuhnya pula.

    "Mereka ini yang kemudiannya melahirkan agama Yahudi menyebabkan Islam lahir bagi membawa seluruh manusia ke jalan yang benar dengan cara hidup berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi," katanya.

    Mengenai peralihan dari kepercayaan Trinity yang menjadi asas kuat kepada dogma ajaran Kristian Ortodoks, Polosin berkata, pengikut ajaran itu sebenarnya tidak mengetahui hakikat kewujudan Allah yang mereka sangkakan mesti dalam 'bentuk' sesuatu.

    "Mereka tidak mengetahui mengenai bentuk tuhan itu tetapi pengikut Kristian tanpa dapat membezakan antara yang benar dan salah, lalu mengambil seseorang sebagai bukti bahawa tuhan itu benar-benar 'wujud.'

    "Sedangkan manusia tidak akan mampu menerima 'penjelmaan' itu menyebabkan tuhan tidak lagi satu malah dua atau lebih yang tentunya bukan satu lambang kekuasaan dan keesaan-Nya," ujarnya yang mengkaji dari zaman Greek Lama mengenai penciptaan Kitab Perjanjian Lama dan langsung dibandingkan dengan isi kandungan al-Quran.

    Beliau tidak menafikan sewaktu bergelar paderi besar itu berlaku pembersihan rohani yang menimbulkan terlalu banyak keraguan di dalam hati sehingga menyebabkan beliau memikirkan semula apa yang telah beliau ketahui dan lalui.

    Pengakuan keislaman beliau diakui tidak dapat diterima oleh pelbagai pihak malah sebagai yang begitu 'alim' dalam ajaran Kristian. Mungkinkah terdapat motif lain yang terselindung?

    Saturday, February 21, 2009

    Doa Elak Rumah dari Terbakar

    إِنَّ رَبِّيَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمُ

    مَا شَاءَ اللَّهُ كَانَ وَمَا لَمْ يَشَأُ لاَ يَكُونُ لاَ حَوْلَ

    وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ،

    أَشْهَدُ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ،

    وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا،

    أَعُوذُ بِالَّذِي يُمْسِكُ السَّمَاءَ أَنْ تَقَعَ عَلَى الأَرْضِ إِلاَّ بِإِذْنِهِ

    مِنْ شَرِّ كُلِّ دَابَّةٍ رَبِّي آخِذٌ بِنَاصِيَتِهَا إِنَّ رَبِّي عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ



    Maksudnya : Sesungguhnya Tuhanku, tiada Tuhan yang sebenarnya yang berhak disembah melainkanNya, ke atasNya aku bertawakkal, dan Dialah Tuhan yang memiliki arasy yang agung, .Apa sahaja yang dikehendakinya tentu akan berlaku, dan apa yang tidak dikehendakinya tidak akan berlaku.Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah yang maha tinggi lagi maha agung.Aku bersaksi bahawa Allah maha berkuasa atas segala sesuatu dan pengetahuanNya meliputi segala sesuatu.Aku memohon perlindungan kepadaNya yang maha berkuasa menahan langit dari jatuh ke atas bumi melainkan dengan izinNya, aku memohon perlindunganNya dari kejahatan segala makhluk yang bergerak di muka bumi yang berada di bawah kuasaNya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.
    ( Riwayat al-Baihaqiy dalam Dala`il al-Nubuwwah no 3046, al-Matalib al-Aliyyah no 3490 , Ithaf al-Khiarat no 6087 , Bughyat al-Bahith no 1052)
    Kelebihan & Khasiat Menurut riwayat dari al-Tabaraniy dalam Kitab al-Du’a dari Abdullah bin Ahmad bin Hanbal bahawa telah mengadu seorang sahabat kepada Abu Darda` r.a bahawa kebakaran sedang berlaku pada kawasan rumahnya.Abu Darda menafikannya.Kemudian dating lagi seorang mengadu hal yang sama lalu ditolak olehnya lagi sehinggalah orang yang dketiga tetapi tetap dinafikannya.Kemudian datanglah orang yang ke empat memberitahu bahawa apabila api itu hamper dengan rumahnya ia terpadam sendiri.Abu Darda r.a telah menjelaskan bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mengamalkan doa ini dibacakan pada waktu pagi dan petang, dia tidak akan melihat sebarang perkara yang tidak disenanginya menimpa diri, anak-anak, pasangan dan rumahnya”.

    Friday, February 20, 2009

    Nabi Isa a.s :Apa yang perlu kita ketahui

    Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Kisah ini berterusan berkenaan perkara yang luar biasa yang dipaparkan oleh Allah SWT".

    Al-Maraghi berkata:
    "Selepas diutarakan kisah mengenai Maryam, lalu diterangkan pula beberapa kisah mengenai Nabi Isa AS, kemudian disusuli pula beberapa kisah tentang Nabi Zakaria AS padahal jarak di antara kedua-duanya agak jauh.

    "Tujuan penyajian kisah seperti ini adalah untuk menguatkan lagi kebenaran di sebalik kisah tentang Maryam dan mengingatkan bahawa Allah SWT sendiri sudah cukup membuktikan kebenaran keperibadian individu yang diberi wahyu oleh-Nya".

    Iktibar dan fiqh ayat ke-45:

    i. Ibn Kathir berkata:

    "Ayat ini sebagai berita gembira yang disampaikan malaikat kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang putera yang mulia dan mempunyai kelebihan iaitu Nabi Allah Isa a.s".

    ii. Al-Maraghi berkata:

    "Kemuliaan Nabi Isa AS di dunia kerana baginda mempunyai tempat di hati manusia dan dihormati. Tempatnya di hati orang yang beriman tidak dapat digantikan oleh yang lain, sedangkan kebaikan yang baginda bawa akan terus berjalan meskipun baginda telah wafat.

    "Kemuliaan seperti ini lebih penting ertinya daripada kemuliaan para penguasa dan raja. Mereka (penguasa) dimuliakan kerana orang berasa takut terhadap kejahatan dan gangguan daripada mereka atau kerana sekadar manis di bibir dan ingin mengaut keuntungan daripada mereka kerana mengharapkan kesenangan dunia daripada tangan mereka.

    "Kejadian seperti ini suatu yang lumrah dan tidak akan mempunyai sebarang pengaruh di hati manusia, sebaliknya ia menanamkan perasaan kebencian dan kemarahan".

    iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

    "Suatu ketika para malaikat, yakni malaikat Jibril AS sendiri sebagaimana telah dikemukakan pada ayat-ayat yang lalu berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT menggembirakan engkau dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dari-Nya.

    "Untuk lebih menjelaskan bahawa kalimat dimaksud bukan berupa ucapan tapi satu tubuh manusia, sekali gus untuk menjelaskan kedudukannya maka berita gembira itu berlanjutan dengan menyampaikan bahawa nama insan yang akan engkau lahirkan telah dipilih Allah SWT adalah Isa al-Masih".

    Sejak baginda lahir berbagai kelebihan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT berupa mukjizat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

    Iktibar dan fiqh ayat ke-46:

    i. Al-Alusi berkata:

    "Sangkaan Nasara bahawa Nabi Isa tidak berkata-kata dalam buaian untuk membersihkan ibunya. Begitu juga pendapat Yahudi yang menuduh ibunya berzina dengan Yusuf al-Najjar adalah sebesar-besar pembohongan".

    ii. Al-Maraghi berkata:

    "Baginda (Nabi Isa a.s) tergolong dalam golongan orang soleh yang telah mendapat nikmat daripada Allah SWT. Mereka terdiri daripada para Nabi dan orang siddiq, dan mereka yang diketahui oleh Maryam kejujuran tingkah lakunya".

    iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

    "Kata kahlan yang diterjemahkan di atas dengan dewasa difahami oleh banyak ulama sebagai usia antara 30 ke 40 tahun, demikian Mufasir al-Jamal dalam al-Futuhat al-Ilahiyah.

    iv. Hamka berkata:

    "Di dalam surah Maryam akan bertemulah penjelasan lagi tentang Nabi Isa a.s yang bercakap membela kesucian ibunya ketika dia masih dalam buaian atau ayunan. Satu keterangan yang hanya adalah dalam al-Quran. "Tidak ada di dalam semua kitab yang dipercayai oleh orang Kristian. Kesolehan Nabi Isa a.s, tawaduknya dan tunduk kepada Allah SWT terkenal di kalangan para nabi dan rasul. Sehingga ahli-ahli tasauf Islam terutama Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin banyak mengambil perumpamaan tentang zuhud kepada diri Nabi Isa a.s".

    Iktibar dan fiqh ayat ke-47.

    i. Ibn Jauzi berkata:

    "Allah SWT menciptakan sesuatu mengikut kehendak-Nya sama ada dengan sebab atau tanpa sebab".

    ii. Al-Maraghi berkata:

    "Perkataan Maryam, Dapatkah aku mempunyai seorang anak lelaki tanpa bersuami", sebenarnya ia mengandungi pelbagai pengertian.

    Antaranya:

    Boleh jadi ia membawa erti apakah beliau segera dapat suami, sehingga dapat melahirkan seorang anak lelaki? Atau lahirnya anak ini terjadi dengan kekuasaan Engkau, Ya Allah? Atau ia membawa erti bahawa beliau begitu takjub dengan kekuasaan Allah SWT dan berasa masalah yang dihadapinya begitu hebat.

    Al-Maraghi juga berkata:

    "Terdapat perbezaan yang menarik antara dua kisah ini, iaitu kisah Nabi Zakaria a.s dan kisah Maryam. Kisah pertama mengunakan perkataan yaf'alu (berbuat), manakala kisah yang kedua menggunakan perkataan yakhluqu (menciptakan, menjadikan).

    "Menurut kebiasaan, bahawa perkataan 'berbuat' seringkali diterjemahkan dalam menjadikan benda-benda yang dikenal atau proses-proses alam yang umum. Sedangkan, perkataan 'menciptakan' sering digunakan untuk menyatakan sebarang perbuatan yang baru sama sekali atau sesuatu penemuan yang baru, sekalipun prosesnya tidak diketahui.

    "Oleh itu, dikatakan Allah SWT mencipta langit dan bumi dan dikatakan Allah membuat langit dan bumi".

    iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

    "Kata kun dalam ayat ini digunakan sekadar untuk menggambarkan betapa mudah Allah SWT menciptakan sesuatu dan betapa cepat terciptanya sesuatu bila Dia menghendaki. Cepat dan mudahnya itu, diibaratkan dengan mengucapkan kata kun".

    iv. Hamka berkata:

    "Bagaimana aku boleh beranak sedangkan aku belum berkahwin? Akupun tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki. Mungkin juga aku akan dikahwinkan membawa erti aku akan mengandung? (Pertanyaan Maryam kepada malaikat)".

    Iktibar dan fiqh ayat ke-48:

    i. Al-Maraghi berkata:

    "Kitab di sini bermaksud membaca, menulis dan pengetahuan yang benar membangkitkan kemahuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang memberi manfaat serta memahami dengan betul kandungan kitab Taurat.

    "Allah SWT turut mengajar baginda (nabi Isa a.s) rahsia-rahsia hukum Taurat sehingga al-Masih menjadi orang yang mengetahui, lalu memimpin kaumnya dan membimbing mereka kepada rahsia dan maksud Taurat. Pada masa yang sama Allah SWT juga mengajarkan kandungan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.

    ii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

    "Nabi Isa a.s menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah atas izin Allah SWT. Ini untuk menghapus segala kesan yang timbul dari apa yang dilakukannya.

    "Oleh itu beliau perlu menyebutkan izin tersebut khususnya dalam hal yang sama tidak dapat dilakukan oleh manusia iaitu meniupkan roh kehidupan, menghidupkan manusia yang telah mati. Adapun penyembuhan, ia berlaku dengan izin Allah SWT".

    iii. Hamka berkata:

    "Dijelaskan keutamaan anugerah Tuhan kepada beliau. Dia (nabi Isa a.s) akan diajari kitab, iaitu akan diberi pengetahuan menulis dan membaca. Firman Allah SWT itu akan menambah kepercayaan umat Muhammad SAW bahawasanya nescaya Nabi Isa ada mencatatkan Injil sebagai wahyu yang diterimanya dari Tuhan.

    "Diajarkan pula kepada beliau hikmat iaitu kebijaksanaan dan akal budi yang luas dan jauh pandangan. Diajar Tuhan pula kepada beliau kitab Taurat dan diberi pula dia wahyu sendiri iaitu Injil. Injil itulah syariat yang khas bagi beliau".

    Daripada ayat-ayat yang ditafsirkan ini jelas menunjukkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya sekalipun dianggap mustahil oleh akal manusia. Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT sifat kudrat dan iradat-Nya.

    Thursday, February 19, 2009

    Bahasa Arab: Yang tersurat dan tersirat

    Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul.

    Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna dalam wasiatnya yang ketiga meminta kita dapat mempelajari dan berusaha keras memahami bahasa Arab. Kenapakah pentingnya umat Islam memahami bahasa Arab dengan fasih itu?

    Berikut, kami paparkan kepentingan bahasa Arab sebagai yang disebutkan dalam al-Quran.

    Surah Yusuf

    [1] Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [2] Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

    Surah Ar-Ra'du
    [37] Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).

    Surah An-Nahl
    [103] Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa mereka yang musyrik itu berkata: " Sebenarnya dia diajar oleh seorang manusia". (Padahal) bahasa orang yang mereka sandarkan tuduhan kepadanya itu ialah bahasa asing, sedang Al- Quran ini berbahasa Arab yang fasih nyata.

    Surah Taha
    [113] Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al-Quran sebagai bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya) bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan dari faedah mereka.

    Surah Asy-Syu'araa'

    [195] (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata.

    Surah Az-Zumar
    [27] Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai misal perbandingan dalam Al-Quran ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran. [28] laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

    Surah Fussilat
    [1] Haa, Miim [2] Turunnya Kitab ini dari Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. [3] Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.

    Surah Asy-Syuura
    [7] Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) "Ummul-Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) - yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

    Surah Az-Zukhruf
    [1] Haa, Miim. [2] Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran. [3] Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.

    Surah Al-Ahqaaf
    [12] (Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al-Quran ini rekaan dusta yang telah lama?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al-Quran pula sebuah Kitab - yang mengesahkan kebenaran (kitab-kitab yang telah lalu), - diturunkan dalam bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira bagi orang orang yang berbuat kebaikan.

    DOA SUPAYA DILIHAT MULIA DAN BERKARISMA...

    اَللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ فَقَوِّنِي فِيْ رِضَاكَ ضَعْفِي

    وَخُذْ إِلَى الـْخَيْرِ بِنَاصِيَتِي

    وَاجْعَلِ الْإِسْلامَ مُنْتَهَى رِضَاىَ

    اَللَّهُمَّ إِنِّي ضَعِيفٌ فَقَوِّنِي وَذَلـِيْلٌ

    فَأَعِزَّنِيْ وَفَقِيْرٌ فَأَغْنِنِيْ وَارْزُقْنِي


    Maksudnya :
    Ya Allah, aku ini lemah, maka kuatkanlah aku dalam keredhaanMu, dan bimbinglah aku kepada kebaikan, dan jadikanlah Islam itu tempat aku meletakkan keredhaan, ya Allah aku ini lemah, maka kuatkanlah aku ini hina maka muliakanlah aku, aku ini miskin maka kayakanlah aku dan kurniakan rezki padaku .[1]

    Keterangan :
    Doa ini diriwayatkan oleh Ibn Asakir dari al-Barra` , dan dari jalan yang lain oleh Abdullah bin Amru, bahawa Nabi s.a.w menjelaskan apabila Allah mengkehendaki kebaikan buat seseorang maka dia tidak akan lupa membaca doa ini .[2]Dari Jami bin Syaddad dari bapanya, beliau meriwayatkan bahwa kandungan doa ini hampir sama dengan doa yang sering diamalkan oleh Umar al-Khattab r.a sebelum memulakan kulia-kuliahnya. [3]
    [1] Ibn Abi Syaibah 29353 , al-Hakim ( 1931 ), dianggap sahih olehnya[2] Ibn Asakir ( 1264) , Jam’ul Jawamik oleh al-Suyuti ( 1275 )[3] Jamik al-Ahadith ( 30686 ) dan Kanzul Ummal ( 14186)

    Wednesday, February 18, 2009

    Hukum faraid ditetapkan al-Quran bersih daripada unsur diskriminasi

    Ulama selar desakan NGO supaya hukum ditafsir semula

    BEBERAPA akhbar tempatan minggu lalu, memaparkan perjuangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam berkaitan faraid.

    Ahli pengasas Musawah, Cassandra Balchin dilaporkan sebagai berkata, undang-undang faraid mestilah dikaji semula dan dipinda. Tambahnya, undang-undang faraid itu ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi adalah dogma prinsip saja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasi wanita.


    Balchin berada di negara ini yang mengadakan perjumpaan tertutup lima hari bermula 13 Februari lalu yang dianjurkan Sisters in Islam dan dihadiri lebih 200 peserta dari 40 negara.

    Bagi undang-undang faraid, seharusnya kita merujuk kepada nas asal berkaitan dengannya.

    Di dalam surah al Nisa' ayat 11-14 bermaksud:
    "Allah mensyariatkan bagimu tentang (pemberian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk kedua ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan; jika yang meninggal itu mempunyai anak, jika yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara ibunya mendapat satu perenam sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak tahu siapa di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dan bagimu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak, Jika isterimu mempunyai anak maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya.

    Isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dibayar hutangmu. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.

    Hukum itu adalah ketentuan Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan besar. Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang menghinakannya.

    Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat hukum diturunkan Allah. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.

    Pada masa ini, kita memperkatakan ketaatan kepada pemerintah, kita lupa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan mutlak. Oleh itu tuntutan Musawah ini dilihat tidak selari dengan pandangan Islam. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang menyelar pandangan sebegini.

    Apa yang merunsingkan ialah Penasihat Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula memberi sokongan kepada tindakan Musawah ini. Apapun, sepatutnya kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah, bukan lari daripadanya. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli ditentukan Allah.

    Dalam ayat yang dinyatakan di atas jelas Allah memberi amaran terhadap ketentuan yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan insaf dan bukan hanya diambil secara sambil lewa.

    Neraca Barat digunakan bagi mentafsir keadilan yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh itu keadilan di dalam Islam membawa maksud lebih besar daripada apa yang difahami undang-undang lain.

    Kita perlu melihat maksud ayat al-Quran di dalam Surah al-Nisa' seperti di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud jelas. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita.

    Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org

    Petikan Berita Harian Rabu, 18 Februari 2009 23 Safar 1430

    Tuesday, February 17, 2009

    Jika Berzina......!!!!!!!!

    Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 2 Yang Bermaksud:
    Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

    Kita sering didedahkan dengan tragedi pembuangan bayi di tempat pembuangan sampah, semak dan kaki lima bangunan serta sesetengahnya ditemui mati. Bayi tidak berdosa itu dibungkus dengan plastik atau kain lalu dibuang tanpa ada sedikit pun rasa belas ihsan dan sifat kemanusiaan.

    Pembuangan bayi itu dipercayai dilakukan insan yang tidak bertanggungjawab antaranya mungkin hasil hubungan luar nikah. Al-Quran dan Sunnah sering memperingatkan nilai hidup setiap makhluk. Kita dilarang mencabut nyawa janin termasuk haiwan kecuali atas ketentuan dibenarkan Allah. Tanpa rasa belas kasihan ibu atau pasangan terbabit sanggup membuang bayi yang dikandung.

    Manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan ketika bertindak. Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan hasil hubungan haram dapat dirasai secara berulang kali.

    Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat 49-50 bermaksud:
     "Dia memberikan anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki atau menganugerahkan kedua-dua lelaki dan perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia juga menjadikan mandul kepada sesiapa yang dikehendaki. Sesungguhnya Dialah yang maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa."

    Anak anugerah Allah yang tidak ternilai kepada pasangan harus lahir daripada ikatan perkahwinan kerana secara fitrah manusia berhajat kepada kurniaan itu.

    Justeru, manusia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga amanah Allah ini mencakupi segala keperluan fizikal, mental dan material.

    Sabda Rasulullah bermaksud:
     "Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila cukup umur dan mengajarnya al-Quran" (riwayat al-Hakim dan ad-Dailamy).

    Realitinya isu pembuangan dan pembunuhan bayi mengingatkan kita pada zaman jahiliah apabila membunuh bayi perempuan yang dianggap memalukan keluarga.

    Di manakah perikemanusiaan dan harga diri atau maruah masyarakat jika bayi tidak berdosa yang sepatutnya dibelai dengan kasih sayang dibuang begitu saja. Sedangkan haiwan sayangkan anak, inikan pula manusia yang perlu bertanggungjawab untuk memelihara zuriatnya.

    Rasulullah bersabda
    maksudnya: "Setiap suami adalah pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (riwayat Bukhari).

    Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes, tahun lalu. 

    Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah 83 kes itu, 79 membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat kes pembuangan janin.

    Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan anak pada masa jahiliah moden ini bukan kerana takut miskin tetapi perbuatan keji untuk menutup malu selepas melakukan zina.

    Pasangan yang dikaitkan dengan isu pembuangan bayi ini ialah mereka yang tertekan dengan keterlanjuran sehingga melahirkan bayi di luar nikah. Kegawatan sosial adalah permasalahan bersama dan memerlukan penyelesaian bersepadu, kolektif dan terancang. Strategi menanganinya memerlukan pendekatan proaktif termasuk pendekatan aspek keagamaan adalah tunjang kerohanian bagi individu Kefahaman yang tinggi dalam pegangan agama dan nilai kerohanian adalah asas pembentukan sahsiah manusia.

    Agama memainkan peranan penting untuk memandu ke arah tingkah laku sesuai dengan pertimbangan dan rasional rutin hidup seharian.

    Menurut Prof Dr Sidek Baba, pendidikan iman dan akhlak pada prinsipnya berasaskan dua faktor yang saling berhubung iaitu qudwah atau teladan dan pengaruh persekitaran kerana antara naluri dan kecenderungan utama anak dalam proses pembelajaran ialah keinginan untuk meniru, mencontohi dan meneladani.


    Justeru, setiap anak memerlukan contoh teladan, mentor dan qudwah supaya kebaikan dan kehebatan contoh berkaitan dapat diikuti dan dihayati dalam kehidupannya.

    Ibu bapa adalah model terawal dan utama dalam pembentukan iman dan akhlak anak. Bagi membolehkan ibu bapa mendidik dengan sempurna, mereka perlu berupaya serta menjadi qudwah terbaik. Mereka harus bijak mengawasi persekitaran kekeluargaan dan agar lahirnya situasi yang sihat dan cemerlang ke arah membentuk keluarga harmoni.

    Seluruh lapisan masyarakat harus bersatu padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesai masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan, khususnya dalam memastikan anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama membabitkan kes pembuangan bayi harus diberi perhatian serius. Tindakan segera perlu diambil supaya terus merebak menjadi penyakit sosial sukar diubati.

    Jika pada zaman jahiliah mereka membunuh antara lain kerana khuatir anak diperkosa atau berzina, maka pada masa jahiliah moden anak dibunuh kerana ibunya sendiri diperkosa atau berzina.

    Kepada dua golongan wanita ini, kembalilah kepada fitrah hidup manusia yang sebenar. Jika terlanjur membuat dosa sehingga hamil tanpa ikatan perkahwinan menambahkan bilangan dosa dengan menyeksa mental dan fizikal kepada bayi yang dilahirkan dengan membuangnya bagaikan sampah-sarap. sama sekali ada yang terbabit dalam kes seperti ini.

    Firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 3 
    Yang Bermaksud : Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tida ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.