Sunday, February 22, 2009

Anak luar nikah tak boleh berbinkan bapa

Soalan:
Seorang bayi perempuan luar nikah dilahirkan pada Februari beberapa tahun lalu dan hanya tiga bulan selepas itu baru ibu bapa bayi berkenaan berkahwin. Malangnya, walaupun bayi itu anak luar nikah, namanya tetap dibintikan dengan nama bapanya, bukan Abdullah. Kini bayi itu sudah dewasa dan tinggal bersama ibu bapanya. Apakah wajib untuknya segera menukar binti kepada Abdullah? Apakah hukumnya jika tidak menukarnya? Adakah anak itu sentiasa berdosa disebabkan dosa ibu bapanya? Apakah prosedur yang perlu dibuat jika beliau mahu menukar nama bintinya?

-----------------------------------------------------------------

Jawapan:
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada sesiapa yang mengaku bapanya kecuali Abdullah atau salah satu nama Allah yang berpangkalkan Abdul. Lelaki yang menyebabkan kelahiran anak itu tidak diiktiraf sebagai bapa kerana tiada akad sah yang menghalalkan persetubuhan bagi menghasilkan anak itu.


Perkara ini dititikberatkan kerana membabitkan banyak kesan dari segi keturunan (nasab), mahram, hukum berkaitan aurat, wali dan pembahagian pusaka.

Anak tidak sah taraf tidak menanggung dosa kesalahan orang tuanya. Namun, nasab sebelah ibunya (ibu serta saudara mara ibu) perlu bertanggungjawab terhadap anak itu termasuk memastikan nama yang betul.

Bagaimanapun, jika ibu mengahwini lelaki yang menyebabkan kelahiran anak itu, si anak dikira mempunyai hubungan mahram dengan suami ibu sebagai hubungan bapa tiri dengan bersentuhan tidak membatalkan wuduk tetapi tidak boleh mewalikan pernikahan si anak perempuan itu jika ia ingin berkahwin.

Jika anak dewasa dan bin atau binti belum dibetulkan, maka dinasihatkan menukarnya dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Sebelum itu ia perlu membuat surat akuan sumpah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 di Pesuruhjaya Sumpah dan mendapatkan surat sokongan Jabatan Agama Negeri.

No comments: