Wednesday, February 25, 2009

Penggubalan undang-undang keluarga wajar dipercepat

Cadangan pindaan beberapa isu perlu diperhalusi, pelaksanaan diseragamkan setiap negeri 

PERJUANGAN ke arah kesamarataan antara lelaki dan wanita berkumandang lagi baru-baru ini. 

Masih belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu kekeliruan dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita apabila Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan undang-undang itu menindas wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang dibentangkan dan diluluskan Parlimen. 

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan kerajaan hendaklah melaksanakan undang-undang diluluskan itu dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya. 

Sanggahan PGSM terbukti benar kerana sehingga kini undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang itu.

Kajian itu diselia Peguam Negara sendiri. Perdana Menteri mengarahkan perkara itu hendaklah diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan berkenaan. 

Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan jawatankuasa itu. Banyak cadangan baik diutarakan dan disepakati. Hal demikian sudah selesai beberapa tahun lalu, tetapi sehingga kini hasil perbincangan panjang lebar itu masih belum direalisasikan. 

Sehingga hari ini selepas hampir tiga tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga yang dipinda masih belum dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian dilakukan masih belum lengkap lagi? 

Nampaknya kerajaan tidak menyedari pentingnya undang-undang itu. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.

Sebenarnya rang undang-undang pindaan yang dibentangkan pada tahun 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu. 

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan rang undang-undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah pun meluluskan undang-undang itu sejak 2002. 

Pada masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga ini. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini kita dapati kurang rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia. 

Rang undang-undang itu sudah dikaji jawatankuasa pakar undang-undang Islam iaitu Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Hukum Syarak yang ditubuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jawatankuasa itu terdiri daripada pakar undang-undang dan syariah termasuk wakil NGO wanita. 

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu segera dibentangkan di Parlimen untuk dilaksanakan secepat mungkin. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang sama supaya segala pindaan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang berbeza antara negeri. 

Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita. 

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, akibat ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam sudah berputik. 

Ada pelbagai hak diberikan kepada golongan wanita dalam rang undang-undang itu, malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hak wanita jauh lebih banyak diperincikan dalam undang-undang berkenaan berbanding hak lelaki. 

Melihat perkembangan semasa, beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian. 

Dalam hal demikian, undang-undang tatacara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya lebih 'mesra pelanggan', tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera. 

Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak. 

Beberapa isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan dalam undang-undang keterangan bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah. 

Ketiadaan peruntukan berkaitan menyukarkan pembuktian di Mahkamah Syariah pada masa ini. Malah tiada garis panduan khusus berhubung perkara itu bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie. 

Ada banyak lagi perkara perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada Mahkamah Syariah. 

Tanpa menyelidiki latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanyalah pelaksana. Apa dilaksanakan adalah apa yang sudah diperuntukkan oleh undang-undang. Jika undang-undang tidak memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah, maka tiadalah kuasa itu. 

Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat Mahkamah Syariah daripada melaksanakan keadilan. 

Namun, dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang. 

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam itu. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan. 

Dewan Undangan Negeri di beberapa negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam masing-masing bagi menyeragamkannya dengan pindaan terbaru ini. 

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu juga dipinda seperti Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara ini mahkamah syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera. 

Moga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah. PGSM mendesak agar Perdana Menteri dapat memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri sebagaimana dijanjikan. 

Dalam menjadikan syariah asas keadilan dan meletakkan hak kepada yang berhak, langkah segera perlulah diambil bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tanpa mengira gender, ras dan bangsa. 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org Intipati 

  • Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal-ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera. 

  • Beberapa isu penting dibincangkan dalam cadangan pindaan berkaitan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian, penting untuk diperhalusi supaya tidak akan ada lagi cemuhan mengatakan undang-undang Islam menindas wanita. 

  • Undang-undang keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak. 

  • Tiada garis panduan khusus berhubung isu baru seperti ujian DNA, sistem pesanan ringkas, video, keterangan pakar dan sebagainya bagi menjadi pedoman kepada hakim dan peguam syarie. 

  • Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah perlu dipinda supaya menghasilkan keputusan lebih adil.


  • Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
    www.peguamsyarie.org

    No comments: