Friday, February 20, 2009

Nabi Isa a.s :Apa yang perlu kita ketahui

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Kisah ini berterusan berkenaan perkara yang luar biasa yang dipaparkan oleh Allah SWT".

Al-Maraghi berkata:
"Selepas diutarakan kisah mengenai Maryam, lalu diterangkan pula beberapa kisah mengenai Nabi Isa AS, kemudian disusuli pula beberapa kisah tentang Nabi Zakaria AS padahal jarak di antara kedua-duanya agak jauh.

"Tujuan penyajian kisah seperti ini adalah untuk menguatkan lagi kebenaran di sebalik kisah tentang Maryam dan mengingatkan bahawa Allah SWT sendiri sudah cukup membuktikan kebenaran keperibadian individu yang diberi wahyu oleh-Nya".

Iktibar dan fiqh ayat ke-45:

i. Ibn Kathir berkata:

"Ayat ini sebagai berita gembira yang disampaikan malaikat kepada Maryam bahawa beliau akan melahirkan seorang putera yang mulia dan mempunyai kelebihan iaitu Nabi Allah Isa a.s".

ii. Al-Maraghi berkata:

"Kemuliaan Nabi Isa AS di dunia kerana baginda mempunyai tempat di hati manusia dan dihormati. Tempatnya di hati orang yang beriman tidak dapat digantikan oleh yang lain, sedangkan kebaikan yang baginda bawa akan terus berjalan meskipun baginda telah wafat.

"Kemuliaan seperti ini lebih penting ertinya daripada kemuliaan para penguasa dan raja. Mereka (penguasa) dimuliakan kerana orang berasa takut terhadap kejahatan dan gangguan daripada mereka atau kerana sekadar manis di bibir dan ingin mengaut keuntungan daripada mereka kerana mengharapkan kesenangan dunia daripada tangan mereka.

"Kejadian seperti ini suatu yang lumrah dan tidak akan mempunyai sebarang pengaruh di hati manusia, sebaliknya ia menanamkan perasaan kebencian dan kemarahan".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

"Suatu ketika para malaikat, yakni malaikat Jibril AS sendiri sebagaimana telah dikemukakan pada ayat-ayat yang lalu berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah SWT menggembirakan engkau dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan dengan kalimat yang datang dari-Nya.

"Untuk lebih menjelaskan bahawa kalimat dimaksud bukan berupa ucapan tapi satu tubuh manusia, sekali gus untuk menjelaskan kedudukannya maka berita gembira itu berlanjutan dengan menyampaikan bahawa nama insan yang akan engkau lahirkan telah dipilih Allah SWT adalah Isa al-Masih".

Sejak baginda lahir berbagai kelebihan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT berupa mukjizat yang tidak boleh dilakukan oleh manusia biasa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-46:

i. Al-Alusi berkata:

"Sangkaan Nasara bahawa Nabi Isa tidak berkata-kata dalam buaian untuk membersihkan ibunya. Begitu juga pendapat Yahudi yang menuduh ibunya berzina dengan Yusuf al-Najjar adalah sebesar-besar pembohongan".

ii. Al-Maraghi berkata:

"Baginda (Nabi Isa a.s) tergolong dalam golongan orang soleh yang telah mendapat nikmat daripada Allah SWT. Mereka terdiri daripada para Nabi dan orang siddiq, dan mereka yang diketahui oleh Maryam kejujuran tingkah lakunya".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

"Kata kahlan yang diterjemahkan di atas dengan dewasa difahami oleh banyak ulama sebagai usia antara 30 ke 40 tahun, demikian Mufasir al-Jamal dalam al-Futuhat al-Ilahiyah.

iv. Hamka berkata:

"Di dalam surah Maryam akan bertemulah penjelasan lagi tentang Nabi Isa a.s yang bercakap membela kesucian ibunya ketika dia masih dalam buaian atau ayunan. Satu keterangan yang hanya adalah dalam al-Quran. "Tidak ada di dalam semua kitab yang dipercayai oleh orang Kristian. Kesolehan Nabi Isa a.s, tawaduknya dan tunduk kepada Allah SWT terkenal di kalangan para nabi dan rasul. Sehingga ahli-ahli tasauf Islam terutama Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumiddin banyak mengambil perumpamaan tentang zuhud kepada diri Nabi Isa a.s".

Iktibar dan fiqh ayat ke-47.

i. Ibn Jauzi berkata:

"Allah SWT menciptakan sesuatu mengikut kehendak-Nya sama ada dengan sebab atau tanpa sebab".

ii. Al-Maraghi berkata:

"Perkataan Maryam, Dapatkah aku mempunyai seorang anak lelaki tanpa bersuami", sebenarnya ia mengandungi pelbagai pengertian.

Antaranya:

Boleh jadi ia membawa erti apakah beliau segera dapat suami, sehingga dapat melahirkan seorang anak lelaki? Atau lahirnya anak ini terjadi dengan kekuasaan Engkau, Ya Allah? Atau ia membawa erti bahawa beliau begitu takjub dengan kekuasaan Allah SWT dan berasa masalah yang dihadapinya begitu hebat.

Al-Maraghi juga berkata:

"Terdapat perbezaan yang menarik antara dua kisah ini, iaitu kisah Nabi Zakaria a.s dan kisah Maryam. Kisah pertama mengunakan perkataan yaf'alu (berbuat), manakala kisah yang kedua menggunakan perkataan yakhluqu (menciptakan, menjadikan).

"Menurut kebiasaan, bahawa perkataan 'berbuat' seringkali diterjemahkan dalam menjadikan benda-benda yang dikenal atau proses-proses alam yang umum. Sedangkan, perkataan 'menciptakan' sering digunakan untuk menyatakan sebarang perbuatan yang baru sama sekali atau sesuatu penemuan yang baru, sekalipun prosesnya tidak diketahui.

"Oleh itu, dikatakan Allah SWT mencipta langit dan bumi dan dikatakan Allah membuat langit dan bumi".

iii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

"Kata kun dalam ayat ini digunakan sekadar untuk menggambarkan betapa mudah Allah SWT menciptakan sesuatu dan betapa cepat terciptanya sesuatu bila Dia menghendaki. Cepat dan mudahnya itu, diibaratkan dengan mengucapkan kata kun".

iv. Hamka berkata:

"Bagaimana aku boleh beranak sedangkan aku belum berkahwin? Akupun tidak pernah berhubungan dengan mana-mana lelaki. Mungkin juga aku akan dikahwinkan membawa erti aku akan mengandung? (Pertanyaan Maryam kepada malaikat)".

Iktibar dan fiqh ayat ke-48:

i. Al-Maraghi berkata:

"Kitab di sini bermaksud membaca, menulis dan pengetahuan yang benar membangkitkan kemahuan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang memberi manfaat serta memahami dengan betul kandungan kitab Taurat.

"Allah SWT turut mengajar baginda (nabi Isa a.s) rahsia-rahsia hukum Taurat sehingga al-Masih menjadi orang yang mengetahui, lalu memimpin kaumnya dan membimbing mereka kepada rahsia dan maksud Taurat. Pada masa yang sama Allah SWT juga mengajarkan kandungan kitab Injil yang diwahyukan kepadanya.

ii. Mohamad Quraish Shihab berkata:

"Nabi Isa a.s menegaskan bahawa apa yang dilakukannya adalah atas izin Allah SWT. Ini untuk menghapus segala kesan yang timbul dari apa yang dilakukannya.

"Oleh itu beliau perlu menyebutkan izin tersebut khususnya dalam hal yang sama tidak dapat dilakukan oleh manusia iaitu meniupkan roh kehidupan, menghidupkan manusia yang telah mati. Adapun penyembuhan, ia berlaku dengan izin Allah SWT".

iii. Hamka berkata:

"Dijelaskan keutamaan anugerah Tuhan kepada beliau. Dia (nabi Isa a.s) akan diajari kitab, iaitu akan diberi pengetahuan menulis dan membaca. Firman Allah SWT itu akan menambah kepercayaan umat Muhammad SAW bahawasanya nescaya Nabi Isa ada mencatatkan Injil sebagai wahyu yang diterimanya dari Tuhan.

"Diajarkan pula kepada beliau hikmat iaitu kebijaksanaan dan akal budi yang luas dan jauh pandangan. Diajar Tuhan pula kepada beliau kitab Taurat dan diberi pula dia wahyu sendiri iaitu Injil. Injil itulah syariat yang khas bagi beliau".

Daripada ayat-ayat yang ditafsirkan ini jelas menunjukkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan apa sahaja dengan kehendak-Nya sekalipun dianggap mustahil oleh akal manusia. Semoga kita menjadi golongan yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT sifat kudrat dan iradat-Nya.

No comments: