Ulama selar desakan NGO supaya hukum ditafsir semula
BEBERAPA akhbar tempatan minggu lalu, memaparkan perjuangan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) wanita menuntut kesamarataan antara lelaki dan wanita. Ia termasuklah tuntutan mengkaji semula undang-undang Islam berkaitan faraid.
Ahli pengasas Musawah, Cassandra Balchin dilaporkan sebagai berkata, undang-undang faraid mestilah dikaji semula dan dipinda. Tambahnya, undang-undang faraid itu ketinggalan zaman kerana tafsiran yang diberikan kepadanya semata-mata berdasarkan faktor sejarah. Syariah juga dikatakan bukan sebagai undang-undang tetapi adalah dogma prinsip saja. Undang-undang ini hendaklah dipinda kerana mendiskriminasi wanita.
Balchin berada di negara ini yang mengadakan perjumpaan tertutup lima hari bermula 13 Februari lalu yang dianjurkan Sisters in Islam dan dihadiri lebih 200 peserta dari 40 negara.
Bagi undang-undang faraid, seharusnya kita merujuk kepada nas asal berkaitan dengannya.
Di dalam surah al Nisa' ayat 11-14 bermaksud:
"Allah mensyariatkan bagimu tentang (pemberian pusaka untuk) anak-anakmu iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang saja, maka ia memperoleh separuh harta. Dan untuk kedua ibu bapa, masing-masing satu perenam daripada harta yang ditinggalkan; jika yang meninggal itu mempunyai anak, jika yang meninggal itu tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (saja), maka ibunya mendapat satu pertiga, jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara ibunya mendapat satu perenam sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak tahu siapa di antara mereka yang lebih dekat manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dan bagimu (suami) seperdua dari harta yang ditinggalkan isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak, Jika isterimu mempunyai anak maka kamu mendapat seperempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya.
Isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, maka isteri memperoleh seperlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dibayar hutangmu. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing daripada kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah.
Hukum itu adalah ketentuan Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan besar. Dan barang siapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-Nya, Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya dan baginya seksa yang menghinakannya.
Perkara ini tidak memerlukan tafsiran kerana ia sudah jelas. Menyeru supaya hukum faraid ini ditafsirkan semula membawa erti meminda ayat hukum diturunkan Allah. Apatah lagi apabila kita mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Ia amat jelas mencabul kesucian al-Quran itu sendiri.
Pada masa ini, kita memperkatakan ketaatan kepada pemerintah, kita lupa ketaatan kepada Tuhan adalah ketaatan mutlak. Oleh itu tuntutan Musawah ini dilihat tidak selari dengan pandangan Islam. Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang menyelar pandangan sebegini.
Apa yang merunsingkan ialah Penasihat Wanita kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil pula memberi sokongan kepada tindakan Musawah ini. Apapun, sepatutnya kita berbalik kepada al-Quran dan Sunnah, bukan lari daripadanya. Membelakangkan sumber hukum Islam hanya akan membawa kerosakan. Akal fikiran kita tidak boleh mengatasi hukum naqli ditentukan Allah.
Dalam ayat yang dinyatakan di atas jelas Allah memberi amaran terhadap ketentuan yang perlu dipatuhi. Tidak timbul isu mentafsir semula ataupun mengatakan undang-undang itu ketinggalan zaman. Sepatutnya falsafah perundangan Islam itu difahami dan insaf dan bukan hanya diambil secara sambil lewa.
Neraca Barat digunakan bagi mentafsir keadilan yang terbaik, malah dalam banyak keadaan ia lebih menyukarkan dan mendiskriminasi. Lensa Islam adalah lebih luas kerana keadilan bukan bermakna satu sama dengan satu. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Oleh itu keadilan di dalam Islam membawa maksud lebih besar daripada apa yang difahami undang-undang lain.
Kita perlu melihat maksud ayat al-Quran di dalam Surah al-Nisa' seperti di atas, membacanya satu persatu dan memahami maksud jelas. Mudah-mudahan Allah memberi hidayah kepada kita.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari laman web www.peguamsyarie.org
Petikan Berita Harian Rabu, 18 Februari 2009 23 Safar 1430
No comments:
Post a Comment