Manusia memang mencari keberkatan. Kerana keberkatan memberikan kepuasan. Kepuasan pada hati sehingga mententeramkan jiwa, melegakan emosi dan menenangkan minda. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak merasa lega dan puas. Bak mereguk air laut kala dahaga, makin diminum makin haus jadinya.
Allah SWT menyatakan yang bermaksud:
Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155 - 157)
Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat. Berkat pada zakat misalnya, amat besar kesannya.
Ia bisa menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada.
Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya," (Sebahagian hadis Riwayat Ahmad)
Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi. Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.
Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara. Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang.
Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun. Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT; bukan sebaliknya. Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng- benteng zakat". (riwayat Abu Daud)
No comments:
Post a Comment