Apakah sah bagi seorang yang bercerai talak satu dan akhirnya ruju' kembali dengan kata lafaz daripada suaminya, iaitu:
"Aku ruju' akan dikau dengan nikahku yang terdahulu."
Dijawab pula oleh isterinya:
"Ya saya setuju."
Dalam hubungan ini, apakah sah rujukannya itu tanpa disaksikan oleh orang tertentu, seperti kadi?
JAWAPAN:
Dalam persoalan nikah cerai, rujuk membawa pengertian suami mengembalikan isterinya yang sudah diceraikan dengan talak satu atau dua.
Dalam al-Quran Allah berfirman, maksudnya:
"Dan suami-suami mereka lebih berhak mengembalikan mereka (isteri-isteri) sewaktu dalam idah jika mereka (suami) menghendakinya."
(Surah Al-Baqarah: ayat 228)
Selain itu, Rasulullah pula bersabda, maksudnya:
"Jibril datang kepadaku dan berkata: Rujuklah isterimu Hafsah kerana dia seorang wanita yang kuat berpuasa dan beribadah pada waktu malam. Dia adalah isteri engkau di syurga nanti."
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis di atas dan juga hadis lain, ulama bersepakat bahawa suami boleh merujuk isteri yang diceraikannya dengan talak satu atau dua selama isteri masih ada dalam idah dengan tujuan memberi peluang sekali lagi kepada suami isteri hidup berumahtangga kerana perceraian yang berlaku itu mungkin hasil tindakan tergesa-gesa oleh suami. Mungkin disebabkan sedikit pergaduhan atau pertengkaran, suami tidak dapat mengawal kemarahannya lalu melafazkan cerai, tetapi selepas itu menyesal dan ingin kembali hidup bersama.
Atas dasar peri kemanusiaan ini, maka Islam memberikan peluang dua kali kepada suami untuk merujuk isteri yang diceraikan selama dia masih dalam idah.
Dalam hubungan ini juga, rujuk ini boleh dilakukan dengan lafaz sorih (terus terang) atau kinayah (sindiran). Lafaz sorih seperti:
"Aku kembalikan kamu kepada nikahku," atau
"Aku kembalikan kamu kepadaku," dan
"Aku rujuk kamu kembali kepada nikahku."
Lafaz kinayah pula seperti:
"Aku berkahwin dengan kamu," dan
"Aku bernikah dengan kamu."
Dalam hal ini, lafaz kinayah itu memerlukan niat, yakni sambil seseorang (suami) berlafaz, dia juga berniat bahawa maksudnya dengan kata-kata itu adalah untuk merujuk semula isterinya itu.
Berdasarkan ayat al-Quran yang disebutkan tadi, ulama bersepakat bahawa rujuk adalah hak mutlak suami selama mana isteri yang diceraikan dengan talak satu atau dua itu masih berada dalam idah.
Dengan sebab itu sahnya rujuk tidak disyaratkan:
1. Persetujuan isteri, sama ada reda atau tidak, setuju atau tidak apabila suami melafazkan rujuk, maka sahlah rujukan itu.
2. Pengetahuan isteri, ertinya tidak disyaratkan isteri diberitahu mengenai rujuk itu.
3. Saksi, tidak disyaratkan juga ada saksi sewaktu rujuk. Bagaimanapun, adalah sunat sekiranya adanya saksi supaya tidak timbul keraguan dan isteri tidak berpeluang menafikan rujukan itu.
Mengenai soalan yang dikemukakan, jawapannya adalah sah lafaz rujuk itu walaupun tanpa saksi.
Bagaimanapun, sebagai makluman, mengikut Enakmen Keluarga Islam, perceraian mestilah dilafazkan di Mahkamah Syariah. Sebarang perceraian di luar Mahkamah Syariah adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya.
Rujuk juga sebaik-baiknya dilakukan di Unit Nikah Cerai dan Rujuk. Kalau suami merujuk isterinya di rumah atau di mana-mana dia hendaklah datang untuk memohon daftar rujuk di unit itu di Jabatan Agama Islam.
No comments:
Post a Comment