Thursday, August 13, 2009

Ahli Hadis: Imam al-Bukhari


Nama beliau ialah Muhammad ibn Ismail ibn al-Mughirah ibn Bardizbah al-Bukhari al-Ju'fi. Beliau memeluk Islam melalui al-Yaman al-Ju'fi dan digelar sebagai al-Imam al-hafiz dan lebih dikenali dengan panggilan al-Bukhari. Beliau lahir di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194H.

Imam al-Bukhari mempunyai karya besar dan agung dalam bidang hadis iaitu kitab beliau yang diberi nama al-Jami' atau disebut juga al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.

Ketinggian nilai kitab ini terserlah apabila beliau sangat teliti ketika memuatkan hadis-hadis sahih di dalamnya. Para ulama menetapkan bahawa kitab karangan beliau merupakan kitab yang paling sahih setelah kitab suci al-Quran.

Kedudukan Sahih al-Bukhari diakui oleh semua ulama sebagaimana kata Ibn Taimiyyah, "Tidak ada kitab di bawah naungan langit ini kitab yang paling sahih setelah al-Quran, kecuali Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim."

Ketakwaan dan kesolehan Imam al-Bukhari merupakan sisi lain yang tidak wajar dilupakan. Berikut diketengahkan pernyataan para ulama tentang ketakwaan dan kesolehan beliau agar dapat dijadikan teladan.

Abu Bakr ibn Munir berkata: "Aku mendengar Abu Abdillah al-Bukhari berkata, "Aku berharap bahawa ketika aku berjumpa Allah, aku tidak dihisab dalam keadaan menanggung dosa ghibah(mengumpat)."

Abdullah ibn Sa'id bin Ja'far berkata: "Aku mendengar para ulama di Basrah mengatakan, "Kami tidak pernah menjumpai di dunia ini orang seperti Muhammad ibn Ismail dalam hal makrifat (keilmuan) dan kesolehan."

Imam al-Bukhari wafat pada 30 Ramadan tahun 256H ketika beliau mencapai usia 62 tahun. Jenazah beliau dimakamkan di Khartank, nama sebuah kampung di kota Samarkand.

Seiring tokoh-tokoh ahli hadis lelaki di atas, jika ditelusuri khazanah sejarah peradaban Islam ketika ilmu-ilmu hadis disampaikan secara sistematik, penglibatan dan sumbangan perawi wanita nyata diperakui sehingga tidak ada lagi dakwaan yang mengatakan bahawa wanita diabaikan dan penglibatan mereka hanya sebagai suatu hal yang sia-sia.

No comments: