MUNGKIN ada di kalangan kita yang merasakan tidak penting, siapa yang terdahulu dan terkemudian yang memeluk Islam sebaik sahaja Nabi Muhammad dilantik menjadi Rasul.
Namun tidak kurang yang menimbulkan persoalan siapa sebenarnya kalangan pemuda yang pertama memeluk Islam selepas Saidatina Siti Khadijah? Adakah anak angkat baginda, Zaid bin Harithah, sepupu baginda Ali bin Abi Talib malah sesetengah mendakwa sahabat baik baginda sendiri, Abu Bakar As Siddiq merupakan pemuda pertama yang memeluk Islam.
Namun persoalan lebih tertumpu kepada Ali. bagaimana seseorang yang dikatakan dalam usia yang masih kanak-kanak malah dikatakan masih belum baligh lagi, iaitu 10 tahun telah berjaya dipengaruhi untuk memeluk Islam?
Lantaran itu satu persatu kita mengenali terlebih Ali dalam kehidupan Rasulullah. Baginda sebenarnya mengambil Ali sebagai anak angkat bagi meringankan beban bapa saudaranya, Abu Talib yang selama ini telah begitu berjasa besar menjaga dan membimbing baginda.
Dalam satu peristiwa, baginda dikatakan mengajak bapa saudara, Abbas bin Abdul Mutalib yang mempunyai kedudukan ekonomi yang lebih baik untuk mereka sama-sama membantu Abu Talib. "Wahai bapa saudaraku Abbas, abangmu Abu Talib adalah seorang lelaki yang mempunyai ramai anak. Marilah kita berangkat ke rumahnya dan bersama-samalah kita meringankan beban bapa saudara yang memelihara ku sejak kecil itu," kata baginda.
Apabila bertemu dengan Abu Talib, mereka pun menyatakan hasrat untuk membantu. Lalu bapa saudara nabi itu pun berkata: "Tinggalkan Aqil (abang kepada Ali) kepadaku dan bawalah sesiapa pun anak-anak ku yang lain, yang kalian kehendaki".
Lalu Rasulullah membawa pulang Ali manakala Abbas membawa pulang Jaafar untuk dijadikan anak angkat masing-masing. Dikatakan Ali ketika itu dalam usia lingkungan lapan atau 10 tahun.
Malah dikatakan dalam usia itu jugalah Ali memeluk Islam selepas diajak oleh Rasulullah. Dalam hal ini dikatakan tidak timbul soal Ali masih terlalu muda dan tidak tahu menahu mengenai ajakan memeluk Islam itu.
Bagi baginda, Islam itu merupakan satu rahmat besar, jadi tidak mungkin sepupunya terlepas dari menikmati rahmat besar dari Allah itu di tambah lagi Ali merupakan sepupu baginda yang paling rapat dan seorang yang sangat cerdas, cergas dan pintar.
Malah dalam hal ini, Ali sendiri pernah berkata: "Saat itu, Islam belum masuk ke rumah lain kecuali rumah Nabi dan Khadijah. Saya orang ketiga di antara mereka. Saya biasa melihat cahaya wahyu dan kerasulan serta mencium harumnya kenabian," kata Ali. (Nahj al Balaghah, h.182).
No comments:
Post a Comment