1. Kaaf, Haa, Yaa, 'Ain, Saad.
2. (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakariya.
3. (Ingatkanlah peristiwa) tatkala Nabi Zakariya berdo'a kepada Tuhannya, dengan do'a permohonan secara perlahan.
4. Ia merayu dengan berkata: "WahaiTuhanku, Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku - wahai Tuhanku - tidak pernah merasa hampa dengan do'a permohonanku kepadaMu.
5. "Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisimu seorang anak lelaki.
6. "Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Ya'qub; dan jadikanlah dia - wahai Tuhanku- seorang yang diredhai serta disukai".
7. (Nabi Zakariya diseru setelah dikabulkan do'anya): "Wahai Zakariya, Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakan mu, dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya".
8. Nabi Zakariya bertanya: "Wahai Tuhanku, Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?"
9. Penyeru itu menjawab: "Demikian keadaannya - janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; 'Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.'"
10. Nabi Zakariya merayu lagi: "Wahai Tuhanku, Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)". Allah Ta'ala berfirman: "Tanda mu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat".
11. Maka iapun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: "Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang.
12. "Wahai Yahya, terimalah kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh," Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
13. Dan (kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfa'atnya; dan ia adalah seorang yang bertaqwa.
14. Dan ia ta'at serta berbuat baik kepada ibu-bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
15. Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).
16. Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Qur'an ini perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya disebuah tempat disebelah timur.
17. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka; maka Kami hantarkan kepadanya: Ruh dari Kami, lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki, yang sempurna bentuk kejadiannya.
18. Maryam berkata: "Sesungguh aku berlindung kepada (Allah) Rahmaan daripada (gangguan) mu; kalaulah engkau seorang yang bertaqwa".
19. Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".
20. Maryam bertanya (dengan cemas): "Bagaimanakah aku akan leh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"
21. Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya - tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: 'Hal itu mudah bagiKu; dan kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia, dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya'."
22. Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu kesebuah tempat yang jauh.
23. (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (korma); ia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang,"
24. Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya: "Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
25. "Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.
26. "Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: 'Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahmaan; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini'."
27. Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata: "Wahai Maryam, Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya,
28. "Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat,"
29. Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?"
30. Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.
31. "Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.
32. "Serta (diperintahkan daku) ta'at dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.
33. "Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".
No comments:
Post a Comment