AKHIRNYA puak Quraisy tidak senang duduk dengan penyebaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Mereka mula gelisah malah tidak kurang kepanasan kerana bagaikan terpanggang di atas api.
Ini apabila ada seruan Nabi Muhammad yang menyamakan mereka kini sebagai golongan yang sesat. Satu istilah yang sama sekali tidak dapat diterima apabila segala kepercayaan mereka telah tertumpah kepada patung-patung berhala sejak zaman nenek moyang mereka lagi.
Sesat bagi mereka merupakan satu konotasi yang sangat negatif. Mereka bukannya golongan yang hilang pedoman, bodoh, buntu, teraba-raba dan sebagainya walaupun itu adalah hakikat pahit yang seharusnya diterima.
Lantaran itu kafir Quraisy ini bingkas bangun, bagai tersedar dari lena dan mimpi yang panjang bagi mula mengekang kemaraan Islam, iaitu satu perubahan agama yang dibawa oleh seorang pemuda yang amat mereka kenali.
Menyedari hidup Nabi selama ini begitu dikuat dipengaruhi oleh bapa saudaranya, Abu Talib lalu mereka menemui Abu Talib supaya menghalang anak saudaranya itu daripada meneruskan penyebaran Islam.
Ini kerana jika tidak dihalang lalu dikhuatiri agama nenek moyang itu akan hanya tinggal sebagai runtuhan-runtuhan berdebu ditelan masa dan zaman.
Ibnu Ishaq dalam riwayatnya menulis mengenai beberapa lelaki ternama dari kalangan Quraisy pergi menemui Abu Talib.
Mereka berkata: "Wahai Abu Talib, sesungguhnya anak saudaramu telah mengutuk tuhan-tuhan kita, mengaibkan agama kita, memperbodohkan akal fikiran kita dan menuduh nenek moyang kita selama ini adalah sesat.
"Oleh itu, hendaklah kamu halang dia atau biarkan kami menyelesaikannya masalah ini antara kami dengan dia".
Abu Talib hanya mampu tersenyum terhadap permintaan tersebut malah dengan lembut beliau menolak permintaan mereka dengan baik.
Namun kehampaan itu perlu ditebus dan dicari jalan keluar. Lebih-lebih lagi mengenangkan ketika itu musim haji akan tiba dan dikhuatiri memberikan peluang dan kesempatan kepada Muhammad untuk menyebarkan Islam kepada jemaah yang datang dari seluruh pelosok negeri dan tempat itu.
Bagi tidak membolehkan perkara ini berlaku, kaum Quraisy itu berkumpul dan bermesyuarat untuk mencari jalan yang boleh menghalang Nabi Muhammad mengambil kesempatan dari kebanjiran jemaah yang datang untuk menunaikan haji di kaabah itu.
Mereka mesti mendapatkan jawapan yang terbaik kepada para jemaah yang datang mengenai Muhammad. Ini supaya dakwah yang cuba disampaikan oleh Muhammad itu tidak berjaya mempengaruhi para jemaah tersebut.
Mereka berkumpul di rumah seorang bangsawan terkemuka Quraisy, al Walid bin al Mughirah. Namun sebelum itu al Walid meminta mereka supaya bijak membuat sebarang keputusan.
"Satukanlah pandangan kamu dan jangan berbeza pendapat, kerana nanti kamu akan saling mendustakan antara satu sama lain dan kata-kata kamu itu akan saling bercanggah," kata al Walid.
Mereka kemudiannya mencadangkan supaya Muhammad itu dikatakan seorang pawang.
Al Walid pun terus menjawab; "Tidak, demi Allah dia bukan pawang, kita sendiri pernah melihat bagaimana keadaannya para pawang sedangkan Muhammad tidak ada lagak pawang dan tidak bercakap dengan bahasa pawang".
"Kalau begitu, kita katakan pula Muhammad ini seorang yang gila," kata salah seorang dari mereka.
Cadangan ini juga ditolak oleh al Walid kerana Nabi Muhammad sama sekali tidak kelihatan seperti orang gila.
"Kita telah melihat penyakit gila dan kita tahu benar mengenainya. Dia tidak kelihatan seperti dirasuk, bercelaru fikiran atau tidak tentu arah. Tentu tidak masuk akal sama sekali untuk menuduhnya gila," kata al Walid.
Mereka kemudian mencadangkan supaya Nabi SAW dikatakan seorang penyair apabila sering membacakan ayat-ayat yang dipercayai hasil ciptaannya sendiri.
"Penyair juga tidak dapat diterima. Dia bukan seperti seorang penyair kerana kita sendiri tahu bahawa syair dalam segala aspeknya, baik rijznya, hijznya, qarid, maqbud dan mabsutnya. Bahasa-bahasa (ayat-ayat al-Quran) itu bukan sebuah syair," kata al Walid.
"Pawang bukan, orang gila bukan, penyair juga bukan apa kata kita katakan Muhammad itu seorang tukang sihir," ujar mereka.
Sebagai tukang sihir juga tidak dapat diterima oleh al Walid, dengan alasan Muhammad tidak ada mempunyai perwatakan seperti ahli sihir.
"Kita pernah melihat tukang-tukang sihir dan apa yang mereka lakukan, sedangkan Muhammad itu tidak pernah meniup dan menyimpul tali sihir seperti mereka," katanya.
"Jika semuanya tidak dapat dikaitkan dengan Muhammad, apa yang kita boleh katakan mengenainya?" tanya mereka yang menghadiri perjumpaan itu.
Selaku individu yang berpengaruh dan berpengalaman, lalu al Walid memberikan jawapan yang tersendiri.
"Demi Allah, ucapan Muhammad itu sungguh sedap didengar, akarnya semerbak harum dan rantingnya berbuah lebat.
"Apa sahaja cadangan yang kamu sebutkan ini pasti diketahui bahawa semuanya adalah palsu. Tetapi cadangan yang paling hampir apabila kamu mengatakan bahawa Muhammad itu seorang tukang sihir.
"Ini apabila dia datang dengan kata-kata yang memukau yang dapat mencerai beraikan hubungan antara anak dan ayah, suami dan isteri, seseorang dengan keluarganya dan dengan sihirnya itu menjadikan semua menjadi kacau bilau dan berpecah," kata al Walid.
Mereka mengangguk-anggukan kepada tanda setuju dengan cadangan al Walid itu dan tanpa membuang masa mereka segera melaksanakannya.
Dalam hal ini, bagaimana anda dapat tafsirkan ayat al-Quran dari surah al-Muddaththir. Sebab ayat ini turun dikatakan akibat tindakan yang hendak diambil oleh kaum Quraisy terhadap Nabi.
Firman Allah yang maksud-Nya: Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka (pelbagai tuduhan terhadap al-Quran). Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian) Kemudian dia merenung dan memikirkan (berkali-kali jalan-jalan untuk mencaci al Quran, tetapi ia gagal): Setelah itu dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam berkerut: Kemudian dia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong dan angkuh. Serta dia berkata: (al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya): "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia". (al-Muddaththir, ayat 18- 25)
Namun tahukah anda siapakah individu yang begitu mengepalai tindakan untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad itu?
Individu tersebut bukan orang lain tetapi bapa saudara Nabi yang baginda sendiri hormati, iaitu Abu Lahab.
Setiap kali Nabi Muhammad pergi menemui orang ramai semasa tibanya musim haji sama ada di rumah-rumah mereka, di pasar Ukaz, Majannah dan Dzhul Majjaz untuk mengajak mereka kepada agama Allah, Abu Lahab akan mengekor si belakang Nabi.
Sambil berkata: "Jangan ikut cakapnya, jangan percaya, dia seorang ahli sihir, ahli sihir yang keluar dari agama nenek moyangnya dan seorang pembohong!"
tersebar berita
Masyarakat Arab yang datang luar dari Kota Mekah mula memperkatakan mengenai Nabi dan tersebarlah berita di seluruh Tanah Arab, Nabi Muhammad dikatakan seorang ahli sihir yang jahat.
Mereka melakukan serangan kepada Rasulullah dengan cara mereka-reka tohmahan dan fitnah bagi melemahkan baginda.
Ini apabila mereka menghilangkan kemuliaan baginda yang selama ini mereka kagumi dengan mengejek, memperleceh, memperolok-olok, mendusta dan mentertawakan baginda.
Tujuannya untuk memalukan baginda dan umat Islam yang baru memeluk agama itu.
Dalam menghadapi situasi yang mencabar dan sukar seperti ini, Rasulullah tentunya tidak melawannya dengan kekerasan. Namun senjata baginda ialah kesabaran dan membina ketabahan.
Lebih-lebih lagi apabila turunnya ayat-ayat al-Quran yang menyuntikkan semangat dan sesungguhnya Allah sentiasa dekat bersama baginda.
Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya mereka yang derhaka, mereka selalu tertawakan golongan yang beriman. Dan apabila golongan yang beriman ini lalu dekat dengan mereka, mereka mengerlingkan mata dan memejam celikkan mata sesama sendiri (mencemuhnya).
Dan apabila mereka kembali kepada kaum keluarganya, mereka kembali dengan riang gembira. Dan apabila mereka melihat golongan beriman, mereka berkata; "Sesungguhnya yang memeluk Islam itu adalah sesat!" Pada hal mereka tidak diutuskan untuk menjaga sesat atau tidaknya golongan beriman itu. (al-Mutaffifin: 29 -33)
No comments:
Post a Comment