Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.
Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)
Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)
Kelebihan Ramadan
Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".
Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."
Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
Pertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
Kedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
Ketiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.
Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".
Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.
Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.
No comments:
Post a Comment