Atas dasar Ali seorang yang sangat pintar, dikatakan untuk beliau memeluk Islam itu sebenarnya tidak mudah. Beliau tidak mudah termakan dek kata-kata kecuali selepas akalnya berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan.
Selepas berjaya mengajak Siti Khadijah kepada Islam, Nabi Muhammad dikatakan lebih menuruti kehendak wahyu terutamanya apabila malaikat Jibrail muncul untuk mengajarkan kepada baginda mengenai ibadat solat yang perlu disempurnakan dengan mengambil air sembahyang terlebih dahulu. "Wahai Muhammad, bangkitlah dan berwuduklah untuk melaksanakan solat!," kata Jibrail yang datang dengan membawa air dari syurga untuk digunakan semasa berwuduk.
Malaikat itu mengajar Nabi cara-cara berwuduk, iaitu dengan membasuh muka dan kedua-dua tangan mulai dari siku, mengusapkan kepala dan membasuh kaki. Jibrail juga kemudiannya mengajar untuk bersolat terutama cara bersujud dan rukuk.
Selepas itu dikatakan ibadat solat yang dilakukan oleh baginda dengan jumlah bilangan dua rakaat sahaja dan tanpa diberikan waktu solat yang tertentu.
Tetapi lazim Rasulullah mendirikan solat semasa waktu terbit fajar dan pada tenggelamnya matahari.
Perbuatan solat Nabi ini sentiasa diperhatikan oleh Ali sehinggalah pada suatu hari beliau bertanyakan sendiri kepada sepupunya itu:
"Ya Abu Qasim, apakah yang sedang engkau lakukan ini? Kepada siapa engkau bersujud". Lalu baginda menjawab: "Ini adalah solat yang Allah perintahkan kepadaku untuk dilaksanakan bagi mengucapkan rasa syukur terhadap-Nya yang mencipta dan menghidupkan manusia di muka bumi ini, sebagaimana adanya aku dan engkau sekarang ini.
"Tidakkah kau mahu untuk bersamaku menyembah Tuhan Yang Satu?"
Lalu Nabi juga membacakan ayat-ayat al-Quran bagi menguatkan lagi apa yang baginda katakan tadi.
Ali yang tertarik dengan kata-kata Nabi Muhammad dan ayat-ayat al-Quran itu, tanpa sebarang ragu kemudiannya menerima ajakan Islam dari baginda dan beliau kemudiannya sering mengikuti Nabi bersolat.
Pada saat itu hanya Nabi, Ali dan Khadijah sahaja melaksanakan ibadat solat itu. Dalam satu riwayat lain diceritakan pada satu kisah bagi menunjukkan Ali merupakan pemuda pertama yang memeluk Islam selepas Siti Khadijah. Afif al Kindi menurut riwayat Ibnu Hajar bercerita: "Pada suatu hari di zaman jahiliah, saya pergi ke Mekah bersama dengan tuan rumah saya, iaitu Abbas bin Abdul Mutalib sehingga kami tiba dan berhenti di sisi Kaabah.
"Di situ kelihatan seorang lelaki yang keluar dari sebuah tenda (khemah) diikuti dengan seorang budak lelaki dan seorang wanita lalu berdiri di belakang lelaki tersebut.
No comments:
Post a Comment