RASULULLAH s.a.w ada menegaskan dalam
hadisnya bermaksud: "Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Jika ia
baik dan sihat, sihatlah seluruh jasad dan jika ia rosak, rosaklah
seluruhnya...sesungguhnya itulah dia kalbu."
Kalbu atau hati sifatnya cepat berubah. Ia diumpamakan titik sasaran, sentiasa
menerima kesan lontaran dari setiap penjuru yang akan mengubah sifatnya.
Al-Quran menyatakan, maksudnya: "Dan Kami palingkan hati mereka dan
pemandangan mereka sebagaimana mereka tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat
Kami) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam
kesesatannya dengan bingung." (al-An'am:110)
Nabi s.a.w sangat mengetahui mengenai sifat hati. Baginda selalu berdoa dengan
lafaz seperti, "Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkanlah
hatiku atas agama-Mu."
Menurut Islam, hati manusia inilah yang
menjadikan manusia itu hidup dengan kehidupan yang sebenar, malah hati jugalah
yang menyebabkan manusia mati dalam hidupnya.
Berbeza dengan bukan Islam yang melihat kepada aspek fizikal semata-mata
menunjangi kehidupan dan kerana itu, mereka tidak dapat melakukan penafsiran
apabila jasad yang sihat kelihatan tidak bermaya dalam hidup.
Pakar perubatan moden mungkin mampu memberikan rawatan kepada segala bentuk
penyakit yang menimpa jasad, tetapi tidak mungkin dalam persoalan berkaitan
hati bersifat rohani.
Hatilah yang menjadikan hidup seseorang sejahtera atau sebaliknya. Kesihatannya
memberi kesan kepada kesihatan jasmani seseorang. Begitulah juga sebaliknya,
tetapi berapa ramai antara kita mempedulikannya?
Sebenarnya hati yang sejahtera ialah hati bersifat tenang (mutmainnah), iaitu
sebati dengan zikrullah, mempunyai keyakinan iman di peringkat ainul yaqin,
berjaya menghakikatkan konsep ubudiyah kepada Allah, menundukkan keinginan
nafsu kepada iradah Allah dan bersih daripada sifat merosakkan.
Hati yang sihat ada sifat sentiasa kembali kepada Allah, iaitu mereka yang
mempunyai sifat al-khasyah, penyerahan kepada Allah, tawakal dan tazakkur
(mengingati ayat Allah).
Malah, hati yang sihat bersih daripada syirik dan segala bentuk penyembahan
taghut serta bertakwa. Hati ini diterima Allah.
Setiap individu tidak akan mengenal Allah jika tidak melalui hati, bahkan gagal
mendekatkan diri kepada-Nya dan berjalan menuju-Nya. Anggota badan hanyalah
pengikut dan tidak lebih sekadar khadam yang setia kepadanya.
Hati jugalah yang menjadi punca kebahagiaan dan kekecewaan. Kebahagiaannya
ialah dengan membersihkannya manakala kekecewaannya dengan memijak dan melumurinya
dengan kekotoran.
Seorang yang mengenali hati akan mengenal dirinya. Seorang jahil dengan hatinya
akan jahil terhadap dirinya. Oleh itu, sesiapa yang jahil terhadap hati dan
dirinya, akan jahil terhadap Tuhannya.
Hati manusia seperti juga anggota fizikal, kesakitannya pelbagai tahap, dengan
sesetengahnya di peringkat tenat, sehingga sukar diubati dan ada di peringkat
sederhana yang senang dirawat.
Antara penyakit hati dan tandanya ialah kekufuran, sama ada kufur kerana jahil
atau kerana semata-mata keingkaran, angkuh dan derhaka kepada hukum Allah,
kesesatan, penyelewengan dan bidaah serta kemunafikan.
Keraguan kepada tanda kebenaran, kebesaran dan kesempurnaan Allah, muwalah atau
memberi kesetiaan kepada orang kafir, enggan dan berat hati untuk berjihad di
jalan Allah, rakus kepada maksiat dan derhaka kepada perintah Allah.
Hati yang sakit bersifat dengan sifat tercela seperti takbur, hasad dengki,
riak, pemarah, bakhil, khianat, cintakan kedudukan dan harta, mengikut nafsu,
buruk sangka dengan Allah, putus asa daripada rahmat Allah serta memusuhi dan
membenci ulama yang soleh.
Pendek kata, hati diumpamakan seperti kaca diwarnai apa yang ada di dalam dan
di sekelilingnya. Ia juga boleh diumpamakan bekas daripada kaca yang berwarna
mengikut warna yang ada di dalamnya.
Nabi s.a.w, dilaporkan bersabda maksudnya: "Hati itu empat.
Hati
yang bersih, di dalamnya ada pelita bercahaya, itulah hati yang mukmin.
Hati
hitam dan songsang, itulah hati yang kafir.
Hati yang tertutup dan terikat pada tutupannya,
itulah hati yang munafik.
Hati
yang terbentang, di dalamnya mengandungi keimanan dan kemunafikan.
"Iman di dalamnya diumpamakan seperti sayur (kubis) yang mengandungi bahan
air yang baik .
Kemunafikan pula diumpamakan seperti pekung
yang mengandungi air nanah.
Mana-mana antara kedua-dua bahan ini yang
lebih mengatasi, itulah yang menguasai (hati)nya."
No comments:
Post a Comment