Imam Ghazali banyak sekali mengupas mengenai bahaya lidah. Dalam salah sebuah kitabnya Ihya Ulumuddin, memberikan tumpuan khusus mengenai bahaya lisan atau perihal lidah. Melalui keupayaan akal, manusia berucap atau mengeluarkan kata-kata melalui perantaraan lidah. Lidah merupakan alat yang membantu manusia menterjemah dan menyampaikan sesuatu perkara melalui kod-kod bahasa, sebagai ungkapan perasaan, pendapat, pengetahuan dan sebagainya.
Lidah manusia bukan sahaja boleh mengungkapkan rasa syukur atas kebesaran Allah SWT, malah boleh disalahgunakan dengan pelbagai cara. Tanpa pancaran iman dan nilai etika, menurut Imam Ghazali, menerusi lidah akan berlakulah pendustaa, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, pertelingkahan, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.
Islam menghubungkan akhlak dengan keimanan seseorang individu dan menganggap orang yang paling mulia akhlak itu adalah orang yang paling tinggi darjat keimanannya. Oleh itu tidaklah menjadi ketakjuban kepada kita bahawa adakalanya mereka yang berpura-pula alim kucing, di depan mata pijak semut pun tak mati, bila di belakang dialah merupakan yang terhandal sekali berbohong. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 30bermaksud:
"Dan jauhilah perkataan-perkataan dusta."
Sikap suka berbohong bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada si pembohong itu sendiri. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna sehingga ditinggalkan pembohongan sama ada semasa senda gurau atau semasa bersengketa atau perbalahan."
Jelaslah betapa besarnya pengaruh lidah dalam kehidupan manusia. Manusia yang dapat mengawal lidahnya, tidak mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan kemarahan orang lain, bukan sahaja disanjung malah dianggap mempunyai budi pekerti yang mulia. Manusia seperti ini disanjung tinggi sebagai yang beradab, bersopan dan jika tidak lagi bersama kita, jasanya akan tetap dikenang, perilakunya menjadi buah mulut masyarakat untuk dicontohi. Buah fikirannya akan tetap harum semerbak, malah menjadi bahan renungan yang mendalam.
Demikian juga untuk mengenali ciri-ciri munafik ke atas seseorang ialah di mana bila bercakap ia berbohong. Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Aas bahawa Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
"Empat perkara yang menjadikannya seseorang itu munafik dan jika terdapat satu daripadanya maka ianya mempunyai ciri nifaq sehingga ditinggalkan iaitu apabila diberi kepercayaan dia khianati, bila bercakap dia bohong, bila berjanji dia mungkir, bila berkelahi dia kejam." (Riwayat Mutafaq 'alaih)
Tutur kata yang benar dan baik perilaku akan memberikan kita kekuatan. Rasulullah SAW pernah menghadapi dilema dan mengganggu perasaannya ketika menghadapi fitnah atau pembohongan golongan munafiq mengenai isterinya yang paling dicintai telah berbuat serong dengan sahabat Rasulullah s.a.w. yang masih muda bernama Safawan. Namun Allah Taala sendiri yang membersihkan 'Aisyah dari tuduhan yang hina itu melalui wahyu-Nya dalam surah an-Nur ayat 11 hingga 23.
Kemudian Allah memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta di dalam firman-Nya bermaksud:
"Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik sahaja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang kafir?" (Surah az-Zumar ayat 32).
No comments:
Post a Comment