Friday, August 14, 2009

Rasulullah diajarkan bacaan al-Quran

ALLAH SWT telah mengajar Rasulullah SAW cara untuk menerima wahyu (ayat-ayat al-Quran) yang dibawa oleh malaikat Jibril. Apabila Jibril membawa ayat-ayat yang diturunkan itu, Rasulullah dikehendaki mengikut bacaan Jibril.

Namun, sebelum sempat Jibril menghabiskan bacaan ayat tersebut, Rasulullah sudah menggerakkan lidahnya untuk meniru bacaan malaikat itu.

Lalu Allah memerintahkan Rasulullah agar bersabar apabila Jibril datang menemui baginda. Apabila Jibril membaca ayat-ayat suci al-Quran atau wahyu ketika itu, hendaklah baginda mendengarnya dengan penuh perhatian.

Allah memberi jaminan bahawa ayat-ayat yang datang daripada-Nya itu, tidak ada satu pun yang akan dilupakan oleh baginda. Semuanya akan lekat dalam ingatan baginda. Selepas Jibril habis membaca, maka Rasulullah pun dapat membaca dengan lancar.

Wahyu yang diterima oleh Rasulullah bukanlah hanya maksud semata-mata, tetapi adalah ayat yang jelas. Isi al-Quran didengar baginda tidak berubah walau sepatah pun daripada Jibril. Setiap patah ayat diikuti dan diingati oleh Rasulullah SAW dengan baik sekali.

Allah telah berfirman, Kalau sekiranya ia (Muhammad) mengada-adakan sebahagian perkataan terhadap Kami, nescaya Kami pegang tangan kanannya, kemudian Kami potong tali jantungnya (Kami bunuh).

Maka wahyu yang Rasulullah bacakan adalah perkataan yang sebenar-benarnya daripada Allah SWT bukannya yang direka-rekakan oleh baginda sendiri.

No comments: