Tuesday, August 18, 2009

Ibadat Puasa

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".
Kerana Allah

Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :

Pertama: 
Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.

Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.

Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.

Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.

Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".

Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".

Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.

Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.

Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.

Kedua: 
Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).

Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin.

No comments: