Friday, August 14, 2009

Jangan tangguh tunai zakat

Soalan 1: 

SESEORANG yang telah cukup segala syarat wajib zakatnya tetapi dengan sengaja menangguhkannya tanpa sebarang keuzuran sehingga berlaku kebakaran menyebabkan hartanya rosak, apakah dia masih wajib berzakat?

Jawapan:

Seorang muslim yang baik ialah mereka yang bersegera melaksanakan kewajipan apabila telah cukup syaratnya. Jika sudah mempunyai harta melebihi nisab dan menggenapi haul tetapi sengaja menangguhkannya tanpa sebarang alasan, bermakna seseorang itu bersikap acuh tak acuh kepada perintah Allah SWT.

Apabila hartanya rosak kerana sesuatu musibah, maka dia ditakrifkan sebagai muslim yang lalai dalam kewajipannya, kerana bertangguh-tangguh sehingga hartanya rosak baharu teringat untuk berzakat.

Dalam kes ini, dia dianggap berhutang dengan Allah SWT dan wajiblah membayar zakatnya apabila dia sudah memiliki kemampuan dalam hartanya.

Inilah pandangan ulama yang dianggap rajih (kuat), seperti pandangan Ibn Hazm, Imam Ahmad, Abu Hanifah Syafiie, Ibn Qudamah dan ramai lagi.

Ini kerana, ia adalah satu hutang kepada Allah SWT, maka ia wajib dilunasi seperti mana hutang manusia sesama manusia. Wallahua'lam. (Rujuk Sayid Sabiq, Fikih Sunah, Jilid 3, hal. 82).

No comments: