Ummu al-Mukminin Aishah binti Abi Bakr ibn Quhafah r.a merupakan nama yang paling penting dalam periwayatan hadis Rasulullah SAW.
Sahabiyyah ini merupakan seorang perawi hadis dan keunggulannya dalam penyebaran hadis diakui oleh para sahabat Rasulullah SAW. Ribuan hadis diterima secara langsung oleh Aisyah r.a dari Nabi SAW.
Kewibawaan Aisyah sebagai tokoh hadis dan periwayat hadis terserlah apabila isteri kesayangan baginda ini meriwayatkan hadis daripada baginda dan kebanyakannya berkaitan tentang kehidupannya bersama baginda SAW. (2,210 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-Sittah, 5,965 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-tis'ah, 316 hadis riwayatnya termuat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan hadis yang diriwayatkan Aisyah r.a secara bersendirian dari Rasulullah SAW sebanyak 138 hadis).
Aisyah r.a sentiasa bersikap kritis dalam mencari dan mempertahankan kebenaran pada saat wahyu atau sabda baginda disampaikan. Sebagai contoh, dalam kitab Fath al-Bari, Ibn Hajar mengupas kritikan (naqd al-hadith) Aishah terhadap Abu Hurairah mengenai kisah dua orang lelaki dari Bani 'Amir telah datang menemui Aishah dan mengatakan bahawa Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud ketidakberuntungan itu dalam tiga perkara iaitu kuda, perempuan dan rumah.
Aishah mendengar lalu menjernihkan situasi dan pemahaman hadis lantas berkata, "....apa yang telah Abu Hurairah katakan hanyalah merupakan amalan masyarakat jahiliah yang suka melakukan amalan bertenung nasib dari tiga hal tersebut".
Ibn Hajar menjelaskan, kritikan Aishah ke atas Abu Hurairah tidak bermaksud mengingkari riwayat Abu Hurairah. Sebaliknya menerangkan bahawa ia merujuk kepada iktikad atau kepercayaan dalam masyarakat jahiliah. (al-Asqalani, Ahmad ibn Ali ibn Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, Qawluhu Bab Ma Yuzkaru Min Shu'm al-Faras, jil. 6, hlm. 61)
Justeru, amat wajar dan tidak menjadi suatu yang mustahil sekiranya Aisyah r.a menjadi tempat bertanya sebarang kemusykilan hadis dan mediator hadis kebanyakan para sahabat, para kibar tabien r.a dan umat Islam seluruhnya.
No comments:
Post a Comment