Monday, August 10, 2009

Rambut Wanita Adalah Aurat

MENUTUP RAMBUT BAGI WANITA
Oleh: Dr. Yusuf Al-Qardhawi

SOALAN:Ada sebahagian orang mengatakan bahawa rambut wanita tidak termasuk aurat dan boleh dibuka. Apakah hal ini benar dan apakah dalil-dalilnya?

JAWAPAN:
Telah menjadi suatu ijma' bagi kaum Muslimin di semua negara dan pada setiap masa oleh semua golongan fuqaha, ulama', ahli-ahli hadith dan ahli tasawuf, bahawa rambut wanita itu tersenarai di antara perhiasan yang wajib ditutup dan tidak boleh dibuka di hadapan orang 

yang bukan muhrimnya.

Dalil untuk ijma' tersebut ialah ayat Al-Quran:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menahan pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) tampak darinya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya." (Surah An-Nuur: 31)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT telah melarang wanita Mukminah untuk memperlihatkan perhiasannya kecuali yang zahir (biasa tampak). Di antara para ulama', baik dahulu mahupun sekarang, tidak ada yang mengatakan bahawarambut wanita itu termasuk hal-hal yang zahir; bahkan menurut ulama'-ulama' yang berpandangan luas, hal itu digolongkan sebagai perhiasan yang tidak tampak.

Dalam tafsirnya, Al-Qurtubi mengatakan, "Allah SWT telah melarang kaum wanita, agar dia tidak menampakkan perhiasannya, kecuali kepada orang-orang yang tertentu, atau perhiasan yang biasa tampak."

Ibnu Mas'ud berkata, "Perhiasan yang zahir (biasa tampak) ialah pakaian."Ditambahkan oleh Ibnu Jubair, "Wajah" Ditambah pula oleh Sa'id Ibnu Jubair dan Al-Auzai, "Wajah, kedua tangan dan pakaian."

Ibnu Abbas, Qatadah dan Al-Masuri Ibnu Makhramah berkata,"Perhiasan (keindahan) yang zahir itu ialah celak, perhiasan dan cincin termasuk dibolehkan (mubah)."

Ibnu Atiyah berkata, "Yang jelas bagi saya ialah yang selaridengan pengertian ayat tersebut, bahawa wanita diperintahkan untuk tidak menampakkan dirinya dalam keadaan berhias yang indah dan dikehendaki supaya berusaha menutupi hal itu. Pengecualian pada bahagian-bahagian yang kiranya berat untuk ditutupnya, kerana darurat dan sukar, misalnya wajah dan tangan."

Berkata Al-Qurtubi, "Pandangan Ibnu Atiyah tersebut baik sekali, kerana lazimnya wajah dan kedua tangan itu tampak di waktu biasa dan ketika melakukan amal ibadat, misalnya
solat, ibadat haji dan sebagainya."

Ini adalah sesuai dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Aisyah RA ketika Asma' binti Abu Bakar RA. bertemu dengan Rasulullah SAW. Pada waktu itu Asma' sedang mengenakan pakaian tipis, lalu Rasulullah SAW memalingkan muka seraya bersabda:

"Wahai Asma'! Sesungguhnya, jika seorang wanita sudah datang masa haid, maka tidak layak lagi bagi dirinya menampakkannya, kecuali ini." (beliau mengisyaratkan pada muka dan tangannya).

Sabda Rasulullah SAW itu menunjukkan bahawa rambut wanita tidak tersenarai sebagai perhiasan yang boleh ditampakkan, kecuali wajah dan tangan.

Allah SWT telah memerintahkan bagi kaum wanita Mukminah di dalam ayat di atas, untuk menutup tempat-tempat yang biasanya terbuka di bahagian dada.Erti al-khimar itu ialah 'kain untuk menutup kepala', sebagaimana serban bagi lelaki, sebagaimana keterangan para ulama dan ahli tafsir. Hal ini (hadith yang menganjurkan menutup kepala) tidak terdapat pada hadith manapun.

Al-Qurtubi berkata, "Sebab turunnya ayat tersebut ialah kerana pada masa itu kaum wanita jika menutup kepala dengan 'akhmirah' (kerudung), maka kerudung itu ditarik ke belakang
sehingga dada, leher dan telinganya tidak tertutup. Maka, Allah SWT memerintahkan untuk menutup bahagian depannya iaitu dada dan lainnya."

Dalam riwayat Al-Bukhari, bahawa Aisyah RA telah berkata, "Mudah-mudahan wanita yang berhijrah itu dirahmati Allah." Ketika turunnya ayat tersebut, mereka segera merobek pakaiannya untuk menutup apa yang terdedah

Ketika Aisyah RA didatangi oleh Hafsah, kemenakannya, anak dari saudaranya yang bernama Abdurrahman RA dengan memakai kerudung (khamirah) yang tipis di bahagian lehernya, Aisyah RA. lalu berkata, "Ini amat tipis, tidak dapat menutupinya."
Allahu Ta'ala a'lam bissowaf

No comments: