Thursday, August 13, 2009

Makam: Imam Al-Syafie di Mesir

Nama lengkap Imam al-Syafie adalah Abdullah Muhammad ibn Idris al-Shafi'e. Lahir di Ghazzah, Palestin pada tahun 150H/767M dan wafat pada tahun 204H/820M. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang miskin.Bapanya wafat ketika Imam al-Shafi'e berumur dua tahun dan ketika berusia sembilan tahun beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Karya imam ulung ini antara lain: al-Risalah, al-Qiyas dan Ikhtilaf 

al-Hadith. (al-Shurbasi, Ahmad, 1991,al-A'immah al-arba'ah)

Imam al-Syafie selalu menjadikan al-Quran dan hadis nabi sebagai landasan dan sumber hukumnya. Dalam hal ini beliau berkata, "Jika kalian mendapati sunnah nabi, maka ikutilah dan janganlah kalian berpaling dengan mengambil pendapat yang lain."

Imam al-Shafi'e pernah berpesan: "Kamu semua hendaklah mendampingi orang orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia".

Meskipun terkenal sebagai ulama fiqh dalam mazhab al-Shafi'e, keahlian Imam al-Syafi'e dalam ilmu hadis turut terserlah apabila beliau turut meletakkan syarat hadis sahih dan memberikan penjelasan mengenai kesahihan sebuah hadis.

Menurutnya, sebuah hadis dinilai sahih apabila perawinya taat melaksanakan ajaran agama, jujur dalam menyampaikan berita, tidak mengubah susunan kronologi periwayat sanad hadis, memahami erti dan maksud yang terkandung dalam hadis yang diriwayatkannya.

Perlu juga diketahui perubahan lafaz sekiranya terjadi, menghafal redaksi hadis yang diriwayatkan, dabit dari segi ingatan dan tulisan, lafaz dan makna tepat seperti sewaktu menerima dari gurunya dan sekiranya hadis diriwayatkan oleh perawi yang lain maka lafaznya tidak berbeza.

Kriteria kesahihan sanad hadis yang dikemukakan oleh -Imam al-Shafi'e turut menjadi kriteria Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Mereka tidak secara maknawi menetapkan syarat-syarat tersebut tetapi ia dirumuskan oleh para ulama sesudah mereka melalui penelitian terhadap kitab-kitab mereka. 

Para ulama mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam kerana ilmu. Bukannya kerana kedudukan, atau latar belakang keturunan mereka. Ketekunan dan usaha gigih yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh di atas meletakkan diri mereka antaranya sebagai perawi dan ulama hadis terulung.

No comments: