Monday, August 4, 2008

Al-Ashur

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa. (at-Taubah : 36).

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis.

Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata: Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (riwayat Imam Ahmad).
Bulan dalam bahasa Arab disebut Al-Syahru yang bermaksud zaman atau masa iaitu merujuk kepada peredaran bulan mengelilingi bumi. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan dirasmikan penggunaan oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah:

Muharram erti diharamkan, kerana ia adalah bulan pertama daripada empat bulan yang diharamkan berperang dalam Islam.

Safar pula ertinya kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.

Rabiulawal dan Akhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau.

Jumada Ula dan Jumada Akhir, erti Jumada itu ialah membeku di mana waktu ini biasanya berlaku musim sejuk yang menyebabkan air membeku. Asal perkataan Jumada ialah ‘Jamada’ yakni membeku.

Rejab pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka mengadakan gencatan senjata di bulan ini sebagai memuliakannya.

Syaaban bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.

Ramadan bererti panas, kerana kebiasaannya pada waktu dahulu pada bulan ini berlaku cuaca panas.

Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan.

Zulkaedah merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari ‘Qa ‘ada’ yakni duduk.

Zulhijjah pula dikaitkan dengan kebiasaan kaum Arab ke Kaabah menunaikan haji pada bulan ini.

Wallah hu a'llamu bissowaf

No comments: