Ketibaan bulan Syaaban yang kita lalui sekarang seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Kehidupan seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.
Terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan Kelebihan bulan Syaaban Antaranya:
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.
-riwayat Bukhari dan Muslim
Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya.
-riwayat Bukhari dan Muslim
Abu Salamah r.a. pula berkata: Aku pernah bertanya Aisyah r.a. tentang puasa Rasulullah s.a.w. lalu dijawab: Bahawa Nabi berpuasa sehingga kami berkata memang ia berpuasa dan ia berbuka sehingga kami berkata memang ia berbuka, dan aku tidak pernah melihatnya berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban, ia pernah berpuasa sebulan pada bulan Syaaban dan pernah juga ia berpuasa sedikit pada bulan Syaaban.
-riwayat Muslim
Di dalam riwayat yang lain Ummu Salamah r.a berkata: Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa berturut-turut melainkan pada bulan Syaaban dan Ramadan.
-riwayat Tirmidzi
Aisyah r.a. juga meriwayatkan bahawa bulan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW berpuasa ialah bulan Syaaban kemudian disambung ke bulan Ramadan.
-riwayat Abu Daud dan Ahmad
Wallah hu a'llamu bissowaf
No comments:
Post a Comment