Ta’rif Qiyamullail diambil dari bahasa Arab, gabungan dua patah perkataan iaitu qiyam dan al-lail yang membawa makna ‘bangun’ dan ‘malam’ untuk tujuan beribadat sama ada bersolat, berzikir atau berdoa. Amalan Qiyamullail ini adalah sangat-sangat dituntut dalam Islam berdasarkan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadits-hadits. Ia merupakan amalan Nabi-nabi, rasul-rasul dan golongan salaf.
Firman Allah dalam Surah Al-Israq ayat 79 yang bermaksud: Dan bangunalah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu -pada hari akhirat - ditempat yang terpuji.
Tuntutan dan Kelebihan Qiyamullail
Sebagai contohnya, firman Allah dalam surah Al-Muzammil ayat 1-5 yang bermaksud : “Wahai orang yang memakai pakaian ! Bangunlah berjaga malam (bersolat) selain sedikit waktu saja, seperduanya atau kurangkan lagi daripada itu, dan bacalah Al-Quran dengan terang dan perlahan-lahan. Kami akan memberimu perkataan yang berat”.Juga firman Allah dalam surah As-Sajadah ayat 16 yang bermaksud : “Mereka meninggalkan tempat tidur mereka menyeru tuhan mereka dengan penuh kecemasan dan pengharapan ….”.Manakala di dalam banyak hadits terdapat gesaan dari Rasulullah s.a.w agar umat Islam berqiyamullail, sebagai contohnya apa yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dengan sanad yang sohih bahawa Nabi pernah bersabda bermaksud : “Wahai umat Islam , tebarkanlah salam , dan berilah makan , dan jalinlah silaturrahim sesama kamu dan solatlah ketika orang lain tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan salam ( selamat )”. ( At-Tirmizi : 2487, Ibn Majah : 1334, 3451, Ahmad 5 / 451 , Hakim 3 / 13, 4 / 160, Thobaqat Ibn Sa’ad 1 / 235, Ad- Darimi 1 / 340-341 ). Hassan Basri r.a pernah berkata : “Aku tidak pernah jumpa suatu ibadat yang lebih utama dari bersolat pada waktu tengah malam”. Beliau kemudiannya ditanya : Mengapa orang-orang yang bangun bertahajjud ( qiyamullail ) lebih baik wajahnya pada hari dibangkitkan di padang mahsyar dari orang lain . Beliau menjawab kerana mereka sentiasa bertemu dengan Allah secara bersendirian menyebabkan Allah memakaikannya dengan nurNya .( Mukthosar Minhajil Qosidin : hlm 60 )
Qiyamullail Amalan Nabi-nabi dan Salafussoleh
Qiyamullail merupakan amalan salafussoleh (golongan terdahulu) seperti yang disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam satu hadits yang lain bermaksud : “Hendaklah kamu berqiyammullail sesungguhnya ia adalah amalan orang-orang soleh sebelum dari kamu , ia adalah jalan menghampiri tuhan kamu dan cara menghapuskan dosa-dosa kamu serta cara menjauhi dosa-dosa”.( At-Tirmizi : 3459 )Nabi s.a.w sendiri pun sentiasa bangun malam untuk bertahajjud, berzikir dan beristighfar sehingga bengkak-bengkak kaki baginda. Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan hadits yang bermaksud : Tidakkah telah diampunkan dosamu wahai Rasulullah ?, para sahabat bertanya. Nabi menjawab : Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur . ( Muttafaqun Alaihi , Ihya Ulumiddin . hlm. 418 )
No comments:
Post a Comment