Monday, August 11, 2008

UNIVERSITI AL-AZHAR MESIR


Kaherah merupakan ibu negara Mesir. Umurnya telah menjangkau lebih seribu abad. Bangunan-bangunan lama masih terus didiami, lorong-lorong gelap penuh dengan sampah-sarap, lopak-lopak air dan pelbagai lagi keadaan yang menggambarkan betapa berusianya bandar ini. Walau bagaimanapun, situasi ini seakan tidak teras, hilang terselindung di sebalik gemerlapan sinar mutiara agung Mesir, al-Azhar, sebuah gedung ilmu yang terkenal di seluruh dunia.

Universiti Terawal di Dunia Seluruh pelusuk dunia mengetahui al-Azhar adalah pusat ilmu yang melahirkan profesional Islam yang sering mengocakkan kealpaan jahiliyyah. Segala isu atau permasalahan masyarakat dapat diselesaikan oleh mereka. Pihak musuh sememangnya memendam dendam kesumat melihat semua ini dan sentiasa merancang pelbagai strategi untuk menjatuhkan al-Azhar di kaca mata masyarakat. Semenjak dahulu lagi, al-Azhar didatangi oleh para pelajar dari serata dunia seperti China, Eropah, India dan lain-lain. Semakin hari al-Azhar semakin berkembang dan semakin ramai tokoh-tokoh pemikir Islam yang sejati dilahirkan bermula zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah lagi.
Sejarah Mengikut catatan sejarah silam, Khalifah Aziz Billah telah menubuhkan universiti Islam yang pertama di dunia iaitu al-Azhar. Mengikut lembaran awal sejarah, tertera bahawa tanggal 6 Julai 969 Masihi merupakan satu tarikh agung bagi negara ini. Kaherah dibuka dengan rasminya dan dijadikan sebagai ibu negara Mesir. Lebih kurang setahun selepas itu, 4 April 970 Masihi bersamaan 24 Jamadil Awal 359 Hijrah, kerja-kerja pembinaan masjid al-Azhar mula dijalankan. Pembinaan masjid dimulakan oleh Jauhari as-Saqoli, seorang panglima yang gagah perkasa pada zaman Fatimiyyah. Usaha mulia ini selesai pada hari Jumaat, 22 Jun 972 Masihi bersamaan 7 Ramadhan 361 Hijrah. Pada hari Jumaat yang bersejarah inilah, solat Jumaat yang pertama didirikan di masjid berkenaan. Pada tahun 378 H (988 M), seorang wali kerajaan Abbasiyah di Mesir, Ya'kub bin Kals telah mencadangkan kepada pemerintah zamannya, Khalifah al-Aziz Billah untuk menjadikan masjid tersebut sebagai Jamiah, institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Bermula dari tarikh tersebut, ramai umat Islam yang berduyun-duyun ke kawasan tersebut. Masjid itu dinamakan Jami' al-Azhar. Mercu Azan
Masjid al-Azhar mempunyai tiga mercu azan. Walaupun rupa dan bentuk mercu ini berbeza di antara satu sama lain, namun pintu gerbang al-Azhar tetap tampak terserlah dengan kewujudan ketiga-tiga mercu tersebut. Mercu-mercu ini dibina pada tiga zaman. Mercu di sebelah kiri pintu gerbang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Qaitbay, sementara yang sebelah kanan didirikan pada 1501 Masihi oleh Sultan Qansuh al-Ghauri, sultan terakhir pada zaman Kesultanan Mamalik.

Kemudiannya pada kurun ke-18, satu lagi mercu dibina oleh al-Amir Abdul Rahman. Semenjak itu, kekallah al-Azhar dengan tiga mercu azan. Setiap mercu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri hasil daripada paduan seni tiga zaman kesultanan Islam. Gempa Bumi di Mesir Sekitar tahun 1315 Masihi bersamaan 702 Hijrah, satu bencana alam yang dahsyat telah berlaku. Banyak kerosakan dan kerugian harta benda terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kerajaan Mesir. Al-Azhar juga kehilangan sebahagian besar binaannya ketika gempa bumi tersebut. Namun kerja pembaikan dijalankan dan kali ini keluasannya bertambah beberapa kali ganda. Pada detik inilah bermulanya pengajian di Masjid al-Azhar dan Madrasah al-Tibrisiah merupakan madrasah pertama yang didirikan. Ia diasaskan oleh al-Amir Tibris bin Abdulah al-Waziri, seorang ketua tentera pada zaman Sultan al-Mansur. Beliau meninggal dunia pada 719

Hijrah dan jenazah beliau dikebumikan di madrasah tersebut.
Objektif al-Azhar Cemburu musuh al-Azhar meluap-luap melihat al-azhar. Kenapa ? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana sasaran dan objektif al-Azhar satu hari nanti akan menghancurkan mereka. Pada Oktober 1798, terjadi satu pemberontakan besar yang pertama dalam sejarah Mesir gara-gara menentang penempatan baru penjajah Perancis di tanah zaitun ini. Ketua jihad ini terdiri daripada syeikh-syeikh al-Azhar yang bersemangat. Antaranya Syeikh Sulaiman Jausuqi dan Syeikh Mauruqi. Tragedi ini berlaku di persekitaran al-Azhar dan Hussein. Apa yang menyakitkan hati ialah pemusnahan ribuan kitab oleh penjajah Perancis. Namun Islam tidak akan berdiam diri apabila diperlakukan sedemikan rupa. Pada tahun 1800 M, bangkit manusia berhati singa dari al-Azhar yang bernama Sulaiman al-Halbi dan beliau membalas dengan menumpahkan darah Cilber, ketua Perancis di Kaherah kerana perbuatannya sekali-kali tidak dimaafkan oleh Islam. Selepas itu, tercatat sekali lagi sejarah apabila buat pertama kalinya orang-orang Mesir memilih hakim di kalangan Azhari. Muhammad Ali Hakiman, hakim lulusan al-Azhar dilantik pada tahun 1805 dan beliau berjaya menentang Inggeris yang lancang menghina al-Azhar. Lanjutan daripada itu, Mesir dihimpit krisis permusuhan tiga segi pada tahun 1956 dalam masa pemerintahan Jamal Abdul Nasser. Sekali lagi al-azhar memainkan peranan yang penting. Selepas tamat krisis itu, Mesir berada di dalam keadaan aman dan nama al-Azhar semakin mekar di jambangan dan harumnya tersebar ke serata dunia.

Al-Azhar di Zaman Pemerintahan Ayyubiyah (567-648 H)(1171-1250 M) Salahuddin Yusuf bin Ayyub ini amat menekankan pendidikan dan memperbaiki keberkesanannya di samping memberi bantuan yang banyak ke arah tersebut. Beliau meneroka ilmu-ilmu naqli seperti tafsir, hadis, ilmu fiqh, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera. Di samping itu, diajarkan juga ilmu aqli seperti falsafah, mantiq, sejarah, kesihatan, perubatan dan lain-lain. Antara perubahan yang berlaku kepada institusi pengajian ini ialah pengajian yang memperdalamkan ajaran Islam tulen Ahli Sunnah wal Jama'ah sehingga ajaran Syiah yang telah diselewengkan telah pupus.
Al-Azhar di Zaman Kerajaan Uthmaniah Pertama kalinya, bendera kerajaan Islam Uthmaniah berkibar di Mesir, pada Januari 1517 M setelah Sultan Salim berjaya mengalahkan kerajaan Mamalik dan bermastautin selama lapan bulan sebelum pulang ke Qastantaniah, pusat pemerintahannya bersama pakar-pakar dalam pelbagai bidang dari Mesir dan kitab-kitab yang berharga daripada maktabah al-Azhar untuk digunakan bagi memajukan kota raya yang pesat itu.

Al-Azhar menjadi tempat terpenting dalam perkembangan ilmu pengetahuian dan agama terutamanya pada zaman pemerintahan keturunan Basya, yang diutuskan dari Turki. Para ulama' disegani dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Di samping mempunyai ilmu yang melaut, mereka juga terkenal dengan sifat-sifat wara'. Pada zaman ini, gelaran as-Syeikh Jami' al-Azhar yang dianugerahkan oleh khalifah semenjak abad ke-17 M dikekalkan hingga ke hari ini.
Pengajian di al-Azhar Sejarah pengajian di al-Azhar selari dengan sejarah Jami'ah tersebut telah melalui liku berkelikir dalam perjalanan yang masih jauh. Pengajian dimulakan dengan menggunakan Kitab I'tisar yang mengajar fiqh Syi'ah sebaik sahaja ia dibina dalam tahun 365 H (975 M) setelah mendapat arahan daripada pemerintah kerajaan Fatimiyyah al-Maiz li Din Daulah, Qadil Duda' Abu Hassan Ali bin Nukman bin al-Qaitawani. Setelah mendapat nasihat daripada menterinya, Ya'akub bin Kals, ditetapkan pada malam Selasa dan Jumaat, penggunaan Waziriyyah sebagai perbincangan usul fiqh Syi'ah. Selepas itu, penambahan madah-madah lain dilakukan sehingga institusi tersebut menjadi institusi pertama yang membincangkan segala bidang ilmu, dengan cabang-cabang ilmu yang dipecahkan kepada Ulum Quran, Tafsir, Hadith, Tauhid, Sejarah, Riadhah, Falaq, Bahasa, Sastera, dan sebagainya lagi. Diadakan juga pembelajaran khusus untuk wanita. Semua ini dilakuakan dengan penggembelingan yang sepenuhnya di antara rakyat dan pemerintah, guru-guru, syeikh-syeikh dan murid-murid untuk menyebarkan ajaran Syi'ah di seluruh pelosok alam. Jawatan yang paling tinggi disandang oleh Da'ie Du'at. Walaupun jawatan ini diberikan kepada khalifah tetapi ia mempunyai kreadibiliti yang tersendiri, bebas daripada khalifah. Ia boleh menjalankan kerja-kerja agama dan memberi pandangan bebas. Di bawah kerajaan Ayubiyyah pula, Sultan Salahuddin yang telah berjaya menghapuskan pengaruh Syi'ah telah mengemaskinikan sistem pembelajaran berdasarkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah dengan membawa masuk fiqh empat mazhab. Di samping itu, baginda juga menggalakkan doktor peribadinya, Musa bin Maimun mengajar ilmu perubatan, falak dan riadhah. Ilmu kesusasteraan Arab pulka diajar oleh Abdul Latif al-Baghdadi, seorang guru daripada Baghdad yang bijak dalam bidang ilmu kalam, mantiq dan perubatan. Pendekatan yang digunakan semasa pembelajaran berbentuk halaqoh iaitu seorang syeikh akan mengambil tempat yang agak tinggi di tepi tiang masjid dilingkungi oleh murid-murid.

Pembelajaran dimulakan dengan Bismillah, doa, salam dan selawat kepada Rasulullah serta diikuti ilmu yang akan dipelajari. Sejurus selepas itu, syeikh tersebut akan memperbetulkan kesilapan bacaan dan tulisan murid-muridnya, menggulang pelajaran yang lalu, menyambung pelajaran baru dan diakhiri dengan perbincangan dan soal jawab serta ditutup dengan surah al-Fatihah. Dengan cara ini, pelajar-pelajar tidak akan ponteng untuk mengelakkan ketinggalan. Kitab-kitab yang digunakan adalah hasil tulisan tangan perempuan dan abdi-abdi lelaki serta penulis-penulis yang diupah.

Pada zaman pemerintahan Mamalik pula, Jami' al-Azhar telah mengekalkan kegemilangannya ketika seluruh Jawami' dan universiti-universiti Islam di Baghdad telah hancur meninggalkan puing-puing abu runtuhan bangunan akibat serangan tentera Monggol yang dipimpin oleh Halako Khan. Air sungai Furat dan Dijlah yang berwarna biru telah bertukar menjadi hitam, kesan tindakan mereka menjadikan kitab-kitab Islam sebagai jambatan. Namun, al-Azhar masih tegak dan kukuh dengan keilmuannya. Selama beberapa ratus tahun semenjak penubuhannya, penekanan terhadap pendidikan wanita lebih diutamakan pada zaman pemerintahan Ismail Basha apabila beberapa buah sekolah wanita telah didirikan. Pada tahun 1882 M (1302 H), seorang perempuan dari muhafazah Manufiyyah, Fatimah Khalfawiyyah telah mengikuti saudara lelakinya, Syeikh Muhammad Khalfawi ke Ma'ahad Tanta tetapi telah gagal dalam peperiksaan yang dikendalikan oleh Syeikh Dasuki al-Arabi.
Pada tahun 1884 M (1304 H) pula terdapat beberapa orang perempuan lagi di Ma'ahad tersebut, seperti Fatimah al-Ghanamiyyah dari Tanta dan Fatimah 'Audhiyyah dari Mansourah. Al-Azhar memainkan peranan secara langsung dalam pembentukan muslimah selepas perubahan besar undang-undang al-Azhar pada tahun 1961. Pada tahun tersebut, berlaku beberapa perubahan besar dalam pentadbiran al-Azhar. Ma'ahad khas untuk perempuan telah dibina dan tenaga-tenaga pengajar dilantik daripada al-Azhar.
Nama-nama al-Azhar Jami' al-Azhar pernah memperolehi beberapa nama dalam lipatan sejarah. Pada peringkat pertama, al-Azhar dikenali sebagai Jami' Kaherah iaitu disandarkan kepada ibu kota Mesir yang terletaknya masjid tersebut.
Pada masa ini, ia dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai anak perempuan (puteri) ibu kota tersebut. Menurut Ahmad Mohd 'Auf seorang penulis al-Azhar, pada masa tersebut Jami' 'Amru bin al-'As dikenali sebagai Jam'u al-Jawami' atau Masjid al-Jami' atau Taj al-Jawami'. Selepas itu, masjid tersebut ditukar namanya kepada Jami' al-Azhar bersandarkan kepada nama seorang puteri Rasulullah. Kajian yang dilakukan tidak dapat memberikan jawapan yang tepat terhadap pemilihan nama yang ketiga ini kerana terdapat ikhtilaf pendapat. Pendapat pertama mengatakan lafaz al-Azhar ini dinisbahkan kepada Saidatina Fatimah binti Rasulullah saw yang dikenali sebagai Fatimah az-Zahra'. Namun, gelaran ini pulalah yang diabadikan pada Masjid az-Zahra'. Mengikut pendapat yang kedua pula, nama ini dikaitkan dengan istana az-Zahirah yang dibina sewaktu pembukaan kota Kaherah.

Seterusnya, yang ketiganya pula berpendapat bahawa nama ini dicadangkan bersesuaian dengan kedudukan dan martabat al-Azhar yang tinggi sebagai tempat penyebaran ilmu Islam. Kini, masjid yang bersejarah yang dibina oleh Jauhar Saqla tetap utuh dan kekal walaupun ia bukan lagi seratus peratus bercorakkan binaan dan kesenian asli seperti pada zaman beliau. Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai pusat penyebaran ilmu Islam tetap gemilang sehingga sekarang.
All Right Reserverd Created By msi53@yahoo.com

No comments: