Rasulullah saw. amat menggalakkan umatnya bangun malam untuk bertemu dengan Allah, bersolat dan mengabdikan diri kepadanya. Di dalam ‘Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah’ karangan Al-Ustaz Prof. Dr. Fathi Yakan, ada disebutkan betapa penting para pendakwah bangun berqiyamullail dengan harapan semoga Allah memberi kekuatan kepadanya, keikhlasan dan ketabahan dalam menghadapi liku-liku perjalanan dakwah yang dilalui .
Kesusahan yang dihadapi dalam menjalankan kegiatan dakwah dan amal islami akan menjadi ringan dengan cara menjalin hubungan langsung dengan Allah menerusi aktiviti qiyamullail yang menjadi rutin kehidupan seseorang pendakwah itu. Pendakwah haruslah mengingatkan diri mereka bahawa tidak ada tempat lain bagi mereka memohon pergantungan melainkan hanya kepada Allah.
Di dalam satu hadits yang panjang, Nabi saw. menyebut yang bermaksud : “Dan tunaikanlah solat dua rakaat dalam kegelapan malam bagi menghadapi kesunyian alam kubur” .
Sembahyang malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadat. Ia membekalkan kita dengan potensi dan daya juang yang hebat seperti yang disebut oleh Allah swt. dalam surah Al-Muzammil ayat 6 yang bermaksud : “Sesungguhnya jiwa yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap ( keperibadiannya ) dan lebih jitu kata-katanya”.Berpandukan kepada ayat di atas, para pendakwah yang ingin melihat perubahan pada diri orang yang didakwahnya haruslah tidak mengabaikan tanggungjawab berqiyamullail .
Diriwayatkan bahawa Jibril datang bertemu Nabi saw. lalu berkata “Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu namun engkau akan mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu namun engkau pasti akan dibalas kelak. Cintalah sesiapa yang engkau kehendaki namun engkau pasti akan berpisah dengannya. Ketahuilah kemuliaan seseorang Islam disebabkan qiyamullail manakala kehebatannya disebabkan tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain. ( Riwayat At-Tabrani )
Jika seseorang itu tidak mampu mengamalkan perkara ini dan membudayakannya dalam kehidupan maka kegiatan dakwah yang dilakukan menjadi kurang berkesan. Bencana yang menimpa umat Islam hari ini adalah disebabkan kekurangan individu yang mempunyai ciri-ciri dakwah dan akhlak yang sepatutnya.
No comments:
Post a Comment