Friday, August 8, 2008

Taubat: Apa reaksi kita....

Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri kenapa kita perlu bertaubat? Jika pernah, apa pula reaksinya? Adakah kita berasakan perlu bertaubat sesekali atau melakukannya dengan lebih kerap? Mungkin ada orang merasakannya tidak perlu. Sementara sebahagian lagi rasa ia amat perlu, malah jika boleh mahu melakukannya setiap masa.

Kepada yang rasa tidak perlu, mereka rasakan tidak ada apa kesalahan yang dilakukan, justeru untuk apa mereka bertaubat. Bagi yang rasa amat perlu pula, mereka menyedari bahawa sebagai manusia biasa mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, lebih-lebih lagi melihat kesalahan kepada Allah Maha Pencipta.
Dalam hubungan sesama manusia, kalau kita melakukan kesalahan, maka cara terbaik untuk menyelesaikannya ialah dengan meminta maaf.

Apabila sudah melakukan begitu, perasaan kita akan menjadi aman dan lebih tenteram daripada kita mendiamkan diri tanpa meminta maaf. Walaupun untuk meminta maaf itu terasa amat berat disebabkan malu, segan dan seumpamanya, namun apabila melakukannya ia ternyata lebih bermanfaat. Fikiran menjadi aman dan jiwa menjadi tenteram. Jika selama ini terasa ada yang tersangkut dan serba tidak kena tetapi dengan berterus terang meminta maaf, perasaan itu menjadi lapang dan lega. Itulah harga kemaafan sebenarnya.

Jika sesama manusia kita sanggup meminta maaf, walaupun atas kesilapan yang kecil, lebih-lebih lagi kesalahan yang membabitkan diri terhadap Allah. Sepatutnya kita akan lebih segera lagi meminta ampun, terutama apabila menyedari ada melakukan kesalahan.

Malah, sebenarnya kita sangat terdedah melakukan kesalahan terhadap Allah. Cara meminta maaf kepada Allah tentunya tidak sama sebagaimana dilakukan sesama manusia.
Untuk mendapat kemaafan Allah, kita perlu memohon ampun dan bertaubat, bukan sekadar atas kesalahan yang sudah dilakukan malah berjanji tidak melakukannya lagi. Soalnya, betulkah ada manusia tidak pernah melakukan kesilapan atau kesalahan yang boleh dianggap berdosa kepada Allah?

Cuma Rasulullah yang bersifat maksum terlepas daripada melakukan dosa. Itu pun setiap nabi dan rasul yang diutuskan Allah ke muka bumi ini sentiasa pula bertaubat dan memohon keampunan Allah. Apa pun anggapan seseorang, sebenarnya manusia sangat terdedah kepada melakukan kesalahan atau berbuat dosa.

Ada ulama menyebut manusia ini, celik mata sahaja, sudah melakukan dosa.
Dosa mata dengan penglihatan, dosa telinga dengan pendengaran, dosa tangan dengan perbuatan, dosa kaki dengan langkah dan pergerakan, dosa hati dengan niat dan iktikad, dosa lidah dengan tutur kata, dosa hidung dengan deria baunya. Bahkan setiap anggota manusia sangat terdedah kepada melakukan dosa, hinggalah terhadap dosa yang paling kecil sekalipun.

Ada orang menganggap melakukan dosa kecil itu sebagai tidak menjadi hal sangat. Ia dilihat seolah-olah tidak mencacatkan apa-apa. Bagaimanapun orang yang menggunakan akal secara lebih wajar kerap memerhati dan menganggap dosa kecil yang dilakukannya adalah besar walaupun kecil pada pandangan manusia.

Kepada mereka, perkara yang sedemikian diibaratkan seperti debu berterbangan yang melekat pada kain jika dibiarkan tanpa dibersih, akan menjadi kotor juga.

Hati pula bagaikan kain yang belum dicelup sebarang warna tetapi apabila dicemari dengan dosa akan bertitik hitam atau menjadi cemar sebagaimana
sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Sesungguhnya iman itu mula muncul di hati bagaikan sinaran putih. Nifaq pula mula muncul di hati seperti titik-titik hitam lalu merebak sampai seluruh hati menjadi hitam." Sebab itu orang yang menggunakan akal fikiran dengan sewajarnya tidak mahu mengisi waktunya dengan perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat atau mencari kesalahan orang lain.

Mereka berzikir, membaca al-Quran dan melakukan segala perbuatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Mereka juga takut seandainya mereka termasuk ke dalam golongan orang yang tidak bertaubat dan zalim.

Firman Allah bermaksud:
"Siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu adalah orang yang aniaya."
(Surah Al-Hujurat: ayat 11)

Orang yang sentiasa memohon ampun dan bertaubat kepada Allah, menunjukkan mereka sentiasa bersyukur terhadap Khalik yang mencipta mereka serta menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga di dunia ini.

Wallahu ak'lamu bissowaff

No comments: