Tuesday, August 12, 2008

PENGIKTIRAFAN AKADEMIK YANG DIKELUARKAN OLEH UNIVERSITI


1.Ijazah Pertama Ijazah ini juga dikenali sebagai Bachelor of Art (B.A) dan mengambil masa antara 3 - 5 tahun mengikut fakulti. Walau bagaimanapun , pihak universiti turut mengeluarkan pengiktirafan yang lebih tinggi daripada itu dalam semua bidang pengkhususan ilmu di semua fakulti. Keterangan lanjut adalah seperti di bawah.

2.Diploma Pendidikan Tinggi Terbuka kepada semua lepasan yang telah menghabiskan peringkat ijazah pertama (B.A) tanpa mengira pangkat yang diperolehi. Biasanya, kebanyakan fakulti mensyaratkan calon-calon yang memohon mestilah telah berpengalaman dalam bidang yang berkenaan selama 2 tahun sejak keluar daripada pengajian ijazah pertama. Pengajian pada peringkat ini merupakan pengajian peringkat tinggi yang merangkumi akademik dan praktikal. Biasanya, peringkat ini mengambil masa selama 2 tahun pengajian atau 4 semester. Di samping itu, al-Azhar juga menerima kemasukan lepasan B.A daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf sama ada di Mesir atau di luar Mesir untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di sini. Calon bukan lepasan al-Azhar juga disyaratkan mengambil beberapa peperiksaan berdasarkan kurikulum Islam. Ia perlu dipelajari dalam tempoh pengajian dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat diploma ini.

3.Peringkat Pengkhususan (Master) Calon-calon yang memperolehi sekurang-kurangnya pangkat Jayyid pada peringkat B.A di Universiti al-Azhar layak memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master (M.A).
Sesetengah fakulti mensyaratkan calon yang memohon perlu menghabiskan setahun (atau 2 tahun) selepas B.A. sebagai syarat kelayakan masuk. Ada juga yang mensyaratkan calon perlu sekurang-kurangnya memperolehi pangkat Jayyid Jiddan dalam mata pelajaran yang ingin diambil sebagai syarat pengesahan kemasukan ke peringkat ini. Syarat yang sedemikian juga dikenakan kepada pemohon yang memperolehi ijazah pertama daripada mana-mana universiti di Mesir atau yang setaraf dengannya daripada lain-lain institusi pengajian yang diiktiraf oleh pihak universiti. Mereka juga disyaratkan mengambil beberapa peperiksaan berdasarkan kurikulum tertentu. Ia perlu dipelajari dalam tempoh pengajian dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat Master ini. Sesetengah fakulti juga menerima kemasukan lepasan Diploma Pendidikan Tinggi dengan sekurang-kurangnya pangkat Jayyid Jiddan. Tempoh minimun bagi menghabiskan pengajian ini ialah selama 2 tahun bagi fakulti amali dan ditambah kepada 3 tahun bagi kebanyakan fakulti teori termasuklah semua fakulti keagamaan (Islam).

4.Peringkat Doktor Falsafah (PhD) Calon yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ini disyaratkan memperolehi ijazah M.A. dalam bidang-bidang pengkhususan tertentu sama ada daripada Universiti al-Azhar , lain-lain universiti di Mesir, atau peringkat yang setaraf dengannya di mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh pihak universiti. Bagi calon bukan lepasan M.A al-Azhar, mereka perlu menghabiskan beberapa pengajian daripada kurikulum tertentu dalam tempoh pengajian universiti dan perlu lulus sebagai prasyarat pengesahan kemasukannya ke peringkat Doktor. Sesetengah fakulti mensyaratkan sekurang-kurangnya pangkat Jayyid atau Jayyid Jiddan bagi calon yang berminat menyambung pelajaran mereka ke peringkat ini.

Calon juga diwajibkan menyediakan thesis (kajian ilmiah) asli yang belum dikeluarkan oleh mana-mana pihak sebelum ini untuk mencapai peringkat Doktor Falsafah.Tempoh minimum untuk mencapai peringkat ini ialah 2 tahun dan ia boleh meningkat kepada 4 atau 6 tahun berdasarkan fakulti-fakulti dan situasi-situasi tertentu.

No comments: