Wednesday, August 13, 2008

Hukum beristimta' dan sex semasa haid

Ulamak bersepakat mengatakan bahawa menjimak isteri ketika haid adalah haram.
Dasarnya ialah firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah: 222). Perempuan yang sedang dalam nifas adalah seperti hukum perempuan yang haidh di dalam masalah ini.
Menurut jumhur ulamak tidak boleh (diharamkan) menyetubuhi isteri sehinggalah setelah putus haidhnya dan mandi junub.

Mengikut Mazhab Hanafi, suami boleh menyetubuhi isterinya sebaik sahaja darahnya putus, sekalipun belum mandi junub lagi.

Hukum istimta' dengan isteri yang sedang haid
Tidak mengapa memeluk isteri yang sedang haid, menyentuh, mencium dan sebagainya, iaitu pada selain dari anggota di antara pusat dan lutut. Perkara ini dipersetujui oleh semua ulamak. Mereka berselisih pendapat di dalam masalah beristimta' (berseronok) pada anggota di antara pusat dan lutut.

Terdapat tiga pendapat:
1. Kebanyakan ulamak, termasuk Syafi’I, Maliki, dan Abu Hanifah:
Hukumnya adalah haram. Alasannya adalah untuk mengelakkan dari berlakunya perkara haram (Saddan liz-zarai’I). Juga kerana terdapat di dalam maksud hadis Aisyah r.a. riwayat syaikhain yang melarang berbuat demikian.

2. Hanbali dan al-Auza I dan lain2.
Berpendapat: Dibolehkan, kerana hadis: "Lakukanlah apa saja melainkan jimak." (Hadis Riwayat jamaah kecuali Bukhari dari Anas bin Malik).

3. Ulamak golongan ketiga berpendapat:
Terdapat perincian, jika suami dapat menahan diri dari faraj (menyetubuhi isterinya), mungkin kerana terlalu warak atau kerana lemah syahwat, maka ini diharuskan. Jika tidak, maka haram hukumnya.

Dr. Wahbah al-Zuhaili memberi tarjih, dalam keadaan biasa hendaklah beramal dengan pendapat yang lebih berhati-hati (pendapat pertama).

Jika seseorang itu baru kembali dari permusafiran atau dalam keadaan syahwatnya begitu kuat, maka dibenarkan beramal dengan dua pendapat yang akhir, tetapi dengan syarat, hendaklah dia dapat mengawal dirinya dari faraj. Ini adalah untuk menghalang diri dari tercebur ke dalam perkara maksiat dengan melihat perempuan lain (ajnabi) dan sebagainya

(Rujukan Al-Feqh al-Islami, vol 3, hal. 552-554)

No comments: