Terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi SAW: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekelian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.
-riwayat Nasai dan Ahmad
Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah melihat (amalan hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhluk-Nya (hamba-Nya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya).
-riwayat Ibnu Majah
Abdullah bin Amru juga pernah meriwayat bahawa Rasulullah bersabda: Allah melihat kepada makhluknya pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan hambanya kecuali dua iaitu orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya) dan pembunuh.
-riwayat Imam Ahmad
Demikianlah beberapa hadis yang menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dan pertengahan bulan Syaaban atau Nisfu Syaaban sebagai pintu masuk kepada ketibaan bulan yang lebih istimewa iaitu Ramadan.
Pelaksanaan ibadah bulan Syaaban adalah satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat. Oleh itu, di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.
Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu Ramadan. Pada kebiasaannya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hari raya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya.
Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan sama ada dari sudut ruhiyah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah.
Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.
Wallah hu a'llamu bissowaf
No comments:
Post a Comment