Tuesday, August 12, 2008

Menarik hari ini: Hukum Anak Zina

Soalan. Seorang hamba Allah ada calun isteri dari anak luar nikah. Apa hukumnya mengahwini anak luar nikah itu; sedangkan nabi menyarankan memilih dari keturunan yang baik2? Tidakkah ini akan mengundang kemudharatan kerana tidak mengikut saranan nabi?

Jawapan:
Pada hakikatnya anak luar nikah adalah seperti insan-insan lainnya. Dia lahir ke dunia ini dalam keadaan suci dan bersih dari sebarang dosa dan noda. Ibarat kain putih yang tidak tercorak. Ibarat kapas yang tak tercemar. Semakin hari anak ini semakin membesar, dan penjaganyalah yang bertanggungjawab mencorak kehidupannya. Agama, akhlak dan dunianya. Jika dicorak dengan baik, anak ini akan menjadi baik. Jika buruk, maka akan buruk jadinya.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibubapanyalah yang akan menyebabkan anak ini menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Malahan, jika dia beriman dengan Allah dan beramal soleh, ditambah dengan ketakwaannya yang mendalam, di sisi Allah dia adalah orang yang mulia. Dia lebih mulia darjatnya jika dibandingkan dengan anak halal yang sentiasa bergelumang dengan maksiat.
Kerana Allah tidak memandang kemuliaan seseorang itu kepada rupa parasnya, darjat keturunannya, pangkat, bangsa apakah dia dan sebagainya. Allah melihat dan menilai keimanan dan ketakwaannya.

Inilah intipati ajaran Islam. Di sinilah letaknya keagungan Islam....
Di dalam Islam tidak ada konsep - menanggung kesalahan orang lain. Siapa yang buat salah dialah yang akan menanggung akibatnya. Sebagai contoh...Apabila Abu tidak sembahyang, maka dialah yang akan menanggung dosanya. Bukan si Ahmad kawan serumahnya dan bukan juga orang lain. Tetapi ada orang kata Ahmad juga berdosa! Memang, si Ahmad juga berdosa, tetapi bukan akibat Abu tidak sembahyang. Berdosa sebab tidak menjalankan satu tanggungjawab lain, iaitu amar makruf & nahi munkar. Dia buat tak tahu sahaja apabila si Ali tidak sembahyang. Tidak ditegurnya, tidak diajak dan sebgnya.

Anak zina lahir dalam keadaan suci. Dia tidak lahir bersama-sama dosa yang dilakukan oleh ibubapanya. Yang melakukan maksiat zina adalah ibubapanya, maka ibubapanyalah yang akan menanggung dosa, bukannya anak ini.

Ini adalah prinsip hukum di dalam Islam. Lihatlah mana-mana kitab-kitab Usul Fikah dalam bab hukum (mahkum fih), sudah tentu inilah yang diperkatakannya -> Tidak sah mentaklifkan sesuatu kepada seseorang agar dikerjakan atau ditinggalkan oleh orang lain.
Firman Allah Taala: "Bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (al-Najm, 38)

No comments: