Rasulullah saw pernah bercerita tentang orang-orang yang rajin 'beramal soleh' namun bernasib malang di hari Akhir.
Ada orang yang mati di medan peperangan sehingga sebahagian orang menyebutnya pasti termasuk dalam daftar yang mati syahid. Tetapi ketika berhadapan dengan Allah SWT di hari kiamat, dia ditanya, "Apa yang kau lakukan dengan kenikmatan yang Aku berikan?" Dia menjawab, "Aku berperang dijalan-Mu, ya Allah, hingga aku mati terbunuh. Itu kulakukan kerana-Mu, ya Allah."
Allah menyatakan, "Engkau berdusta! Sesungguhnya, engkau berperang sampai mati hanya kerana ingin disebut pemberani. Dan pujian itu sudah kau perolehi di dunia!" Lalu orang itu diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.
Orang yang menuntut ilmu sampai boleh mengajarkannya semula dan membaca Al-Quran. Ketika ditanya oleh Allah dengan pertanyaan yang sama, dia menjawab, "Aku menuntut ilmu dan aku mengajarkannya lagi dan aku juga membaca Al-Quran, itu semua kulakukan kerana-Mu, ya Allah!".
Allah mengatakan, "Engkau dusta! Sesungguhnya, engkau belajar dan mengajar serta membaca Al-Quran semata-mata kerana ingin disebut orang yang pandai (alim) dan itu sudah kau perolehi di dunia!" Lalu orang itu diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.
Orang yang diberi kurnia harta oleh Allah SWT. Ketika ditanya dia mengatakan, "Tidak ada satu jalan kebaikan, melainkan aku dermakan hartaku untuknya hingga hartaku habis. Itu semua kulakukan kerana-Mu, ya Allah!"
Allah mengatakan, "Engkau dusta! Sesungguhnya, engkau berinfaq hingga hartamu habis semata-mata kerana ingin disebut dermawan. Dan itu sudah kau perolehi di dunia." Maka, orang itu pun diseret dan dilemparkan ke dalam neraka.
Itulah gambaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw kepada kita tentang orang-orang yang beribadah disertai dengan perasaan riya'.
No comments:
Post a Comment