Demikian juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.
Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit." -Surah Al-Taha: ayat 123-124
Di samping unsur kerohanian, Islam juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi memberi keselesaan kepada manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil makan minum yang lazat, memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan cita rasa, memiliki kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan tidak mendatangkan masalah.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Empat perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang salihah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan: isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit."
Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana. Antara tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja.
Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu. Al-Quran mengingatkan manusia dua perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa." -Surah Al-Hud: ayat 116
Dr Yusuf al-Qardawi mengulas mengenai kemewahan, katanya: "Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
" Imam Fakhr al-Razi mengertikan kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat ialah tabiat hidup yang sombong dengan kenikmatan yang dirasai. -Tafsir Al-Kabir, 18/75
Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi kehidupan mewah dan sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji.
No comments:
Post a Comment